Pengikut

Isnin, 25 April 2016

Bersebabkan Apa

Bersebabkan cinta
Kita menduga definisi manusia
Sejauh mana keutuhan makna
Sejauh mana kuatnya ikatan
Antara sesama kita
Sesama manusia

Bersebabkan sayang
Kita diduga tanpa batas
Sejauh mana kesanggupan
Setinggi mana kemahuan
Untuk mencapai tujuan
Demi insan tersayang

Bersebabkan kita
Bernamakan manusia
Bertuankan hati
Bertuhankan Illahi
Kita duga segala jadi

-S.Syahmi-

Khamis, 31 Mac 2016

Embun

Dikisahkan embun
Wujudnya dari berahi malam dan cumbu bulan digamit sayang
Terlahirnya embun
Di pangkal daun pohon rimbun
Dia
Tertanya-tanya kemana alirnya

Sedang dia, embun baru dititis
Tatihnya masih di pangkal daun
Dan hujungnya tak kelihatan
Pasti keliru
Serampang urat daun berselirat
yang mana patut dia lalui

Sampaikah hatimu berkata
"Akan datang mentari tengahari
Itu bahang dunia, akan membakar hingga wap semuanya"
Sedang embun leka bersahaja
Melayan pagi dengan mesra
Tanpa sedar apa bakal menimpa

Ingat embun ingat
Datang tengahari bersama mentari
Itu realiti kau tak boleh lari
Simpan semangatmu embun

Moga sampai ke senja
Lalu hilang bersama kabus malam
Dan meninggalkan embun baru
Meneruskan legasi embun
Di pangkal daun pohon rimbun
Di rimba kehidupan dan keduniaan

Jumaat, 11 Mac 2016

Di astaka hati, mencari lagu naluri

Di astaka hati
Dimana terpupuk naluri insani
Kita diduga mentari duniawi
Tanpa kenal maksud
Kita cuba untuk menegur kenal

Tak suai tak usai usaha tersia-sia
Sedang diri di hujung hari
Masih perlahan meniti
Masih tak sedar diri

Astaka kusam tak berlagu
Telah hilang suara
Telah dilupakan kekata liriknya
Telah kekok intonasinya

Sunyi
Tanpa lagu
Tanpa mengenal diri
Dan astaka hati
Kempunan melodi
Lagu ringkas siapa diri ini

S.syahmi
Dalam bas seorang diri

Khamis, 10 Mac 2016

Bohong dan hati mati

Pembohongan terbesar selalunya bukan daripada musuh apatahlagi sahabat. Bukan daripada bicara ahli politik atau bisikkan kekasih tetapi yang lebih rapat dan dekat.

Hati.

 Selalu  ikut kata hati, buat apa pun sesuka hati. 

Mati tak terasa ikut hati?
Kalau hati mati?
Sebab tak percaya semua lagi?

Isnin, 9 November 2015

Masa sama manusia

Hening pagi sering menemuduga
Soalnya tentang khabar dan rutin
Tentang bagaimana diisi hari
Dan bagaimana dicurah hati
Dalam 24jam yang diberi
Sama setiap manusia

Leka terlalu selalu diberi peluang
Sedang masa bertuankan kita
Tak mungkin tak tertanggung
Tak luak nyawa jika ditanggung
Tuhan sudah kata 24jam itu masa
Sama setiap manusia
Dan kita kerap tertanya kenapa
Kita tersoal pada masa
Tak sedar
Yang kita soal itu Tuhan
Yang kita keluh itu ketetapanNya
Yang merasa itu kita semua
Sama setiap manusia

Yang patut sedar akan benar
Yang patut akur bukan berdengkur
Yang patut terikat dengan hakikat
Kita, kita dan kita
Sama setiap manusia
Sama...

-s.syahmi-
sajaksyafiqsyahmi.blogspot.com

Mabuk Keduniaan

Masihkah tak bias ingatan insan
Di tiap teguk dari botol keduniaan
Dan lenggok mabuk tari alpa
Apa sedar namun tak gusar?
Itukah semangat kita hirup?
Sedap?

Dodoi dunia lunak sekali
Melentok melelong kanan kiri
Kalau jalannya mengundur diri
Jangan tanya mana lorong lurus
Benak di akal tak sahut di luaran
Tetap keras teratur
di laku dan tutur sesama insan

Luhur
Katanya dunia itu pemabuk teruk
Kufur
Luang diberi sia terbuang
Kita lupa, selalu dan kadang
Siapa sebenarnya
Yang meneguk
Yang pemabuk
Kita atau dunia

-s.syahmi-

Katanya

Tangan kecil mengenggam erat
Sarat memaut cinta selaut
Kuat bertaut tak lepas paut
Dia
Katanya cinta

Sedunia dijanji impi tak dimungkiri
Biar hatinya dimilik jadi hakiki
Takkan terlepas jadi igau sendiri
Dia
Katakan cinta

Seraut wajah melekat di minda
Tiada lain diganggu jangan
Bebas terhalang tertutup dunia
Lihat
Katanya cinta

Dan kita sering mengukir dusta
Labuh rasa berumpan kecewa
Maka jadi semua terkena
Mangsa
Katanya cinta

Setakut mana untuk bercinta
Pasti ada ruang tampil semuka
Kerana itulah kita selaku manusia
Kita
Kita adalah cinta

-s.syahmi-

Senjata sambung sengketa

Tiap nyawa yang terusai
Adalah detik di waktu alam
Rona-ronanya ringkas di lalu
Secebik peluru menembus lalu
Laju mengambil nyawa pejuangku

Sehabis airmata yang diusir
Tinggal darah segalung diusung
Tetapi bukan untuk sesiapa
Akan jatuh ke tanah menjadi nanah
Hilang hanyut dalam sejarah

Setelah tiap nyawa disumpah
Hilang beza peluru dan hujah
Tiada makna pada kekata
Tinggal kita
Mengangkat senjata
Menyambung sengketa

-s.syahmi-

Hujan Selebat Rindu

Di titis-titis hujan
Akan terkenang seorang insan
Di renungan antara celah hujan
Seperti kelibat bayang
Bayang yang aku rindu

Bayang itu menari-nari
Mengajak aku kemari
Meluah rasa bersama hujan dan hati
Memimpin jari ia menarik diri
Berlantai lopak berlampu mendung
Hebat

Kelibat si celah hujan tak peduli
Betapa aku perlu dan rindu
Pada kenangan agar berulang lagi
Sesedap hati
Setiba hujan
Selebat rindu

-s.syahmi-

Tinggal apa?

Jika jasadku tetapnya di pusara
Dan puisi-puisiku di pusaka
Antara segala, semua dan tiada
takkan beza pada makna dan mata

Setelah semangat berkobar dikibar
Terbakar semua di derap belukar
Setelah hancur akal dimusnah
Terbuang segala ilham bermadah
Setelah lebur tinta diguna
Mencair di kekata moden dunia
Apa yang tinggal?

Cuma puisi-puisi aku
Tanpa nama aku

-s.syahmi-
- Jangan tinggal Daku-

Jumlah Paparan Halaman