Pengikut

Memaparkan catatan dengan label Pilihan Penyajak. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pilihan Penyajak. Papar semua catatan

Rabu, 11 Mei 2016

Kau Bintang Jalang dan Mentari Gampang

Antara bintang siang dan mentari malam
kita selalu menduga apa kutuk katanya
antara sahabat, cinta dan musuh
sering tertanya fizikal hubungan itu
kelabu dalam definisi celaru

Sembilu lekat ngilu di hati
tercapai mentaliti untuk tafsir duniawi
terbantu hasrat ketika mengenal diri
lebih tepat, "sedar diri"!

Bukan merendah bukan meninggi
aku mungkin segala cuma bukan sesiapa
cuma nama tak bernama
atas dasar panggilan sahaja
kadang terfikir
Dimana maruah yang aku dakap selama ini?

Seterusnya ini membawa kepada kelayakkan
antara aku, kau dan aku
sememang tak tercapai kehendak kau
sebab itu aku samakan kau dengan bintang siang
sumber cahaya tenang yang hilang dipandang
sebab itu aku samakan kau dengan mentari malam
membakar orang yang rayu ketenangan

Kutafsir kau senang 
Kau bintang jalang!
Kau mentari gampang!

-S.Syahmi-

Sabtu, 17 Oktober 2015

Dodoi ayah tunggal ke anak tertinggal

Sayang jangan menangis
Abang akan selalu di sisi
Sayang jangan terguris hati
Seribu maaf abang sanggup tulis

"Buai laju-laju
Sampai pohon sena
Moga sampai rindu
Moga sayang ingat selalu"

Sayang selalu senyum sinis
Mungkin memerli
Mungkin mengejek
Mungkin sedar tak sedar
Kata sayang
Abang duli tak duli
Tentang korban seorang isteri
Dodoi ditepuk;

" Tepuk amai-amai
  Belalang kupu-kupu
  Sayang kasih satu sudu
  Abang balas satu belanga"

Sayang pergi sayang hilang
Sayang datang abang girang
Kalau hati bertaut noktah
Mana gunung hendak berlari
Mana laut hendak sembunyi
Kalau nasib tersurat begini
Apa hak abang nak menafi?

"Rasa sayang hei rasa sayang hei
Lihat nona jauh sana
Rasa sayang abang tidak hilang
Simpan sampai sayang pulang"

-s.syahmi-
sajaksyafiqsyahmi.blogspot.com

 

Khamis, 1 Oktober 2015

Hi! Nak ngorat boleh?

Hai! Siapa nama?
Nak ngorat boleh?
Ada syarat ke?
Lelaki solih? Muka mat saleh?
Atau body sado tangkap leleh?

Apa? Tak pandang luaran?
kenapa ditanya berapa simpanan?
Risau saya tak ada masa depan?

Haha
Saya lelaki tanpa dunia
Cuma kata-kata yang setia ada
Tak manis, selalu senyum sinis
Tak sombong tak pandai bohong
Muka pun kosong, sekadar syukur
Cukup sifat sempurna akal

Boleh ke nak ngorat?
Nampak garang tak boleh sembang
Sembang sikit terus nak hilang
Jangan cik!
Saya baru nak bagi salam!

Untung jadi perempuan!
Dikejar lari ditinggal tak duli
Masih memilih walau tak sudi!
Aduhai, larilah cik
Dah tak larat nak kejar
Umur meningkat nafsu menyusut
Badan membulat perut membuyut!

Apakan daya
Bujang terlajak ,siapa yang nak!

Eh? Cik di sana?
Berminat ke?

-s.syahmi-
-Haha-

Jumaat, 18 September 2015

Dia Gelandang Berdendang

Dendang dendang sayang
Anak gelandangan hidup terbuang
Apa kisah tiada orang sayang

Kisahnya jalan, tikusnya rakan
Pohonnya cendawan, tilamnya bawah jambatan, ngemisnya perkerjaan, minumnya air hujan, makannya tak mengenyangkan, tidurnya bukan di dengkuran,
Senyumnya penipuan
Cuma
Tangisnya yang benar
Peluhnya yang ikhlas

"Demi hidup dia kalut
Demi bernafas dia semput"

Takkan kisah tiada orang sayang
Gelandangan hidup tetap terbuang
Dendang dendang sayang
Gelandangan terus berdendang
Dendang orang terbuang
Dendang orang tak sayang

S.syahmi
18 sep 15
Sajaksyafiqsyahmi.blogspot.com

Khamis, 17 September 2015

Aku menteri terpaksa sudi!

Aku menteri terpaksa sudi
Dengan monarki yang tak duli
Tak bicara selagi dia bertakhta
Sengaja pekak bila diteriak
Sengaja buta tanpa ditanya

Bukan tak dengar rakyat bersuara
Bukan tak nampak rakyat diseksa
Namun dia raja, aku kulinya
Takut menentang nanti dibuang
Hilang pangkat hilang wang
Aduhai malang
Begitu senang nasibku dipegang...

Aku menteri tanpa mata,
Tanpa telinga, tanpa suara
Selagi dia di atas sana
Siapa aku kalau bukan kuncunya?
Sekadar patung di kerusi kosong
Pak turut terpaksa menyokong
Walau aku dan semua menteri lain
Tahu
Itu semuanya bohong...

Aku tak mahu
Menjadi menteri
Dengan membenarkan bohong

Aku tak mahu
Malaysiaku mati
dengan janji kosong

-s.syahmi-
-Mungkin isi hati seorang menteri-
-Selat Singapura, 16 Sep 15
1600H-

Isnin, 24 Ogos 2015

Sepetang di hujung tanjung

Aku duduk disini,
Di hujung tanah kita gelar negara sendiri,
Mesra,ya, itu yg dirasa jari,
Ketika tangan ditekap di bumi,
Ketika angin kuat melekat di muka,
Dan tempias ombak kental mendebur di jeti,
Aku cerna semua satu persatu
Sebati dalam naluri,
Menjadi tempo aku sebagai lelaki.

Di hujung tanah,
Di Tanjung Pengelih,
Kukira hujung tanah air,
Kukira kerapu menari di mata kail,
Kukira tenang dapat kukait,
Kukira indah dapat ku abdi,

Tapi hakikat,
Ku tempa nekad dalam jasad,
Ku letak semangat di alir keringat,
Aku lelaki,terikat dan terpikat
Dengan petang di hujung tanjung.

-s.syahmi-
- jetti tg.pengelih-
2000H 22 ogos 15

Selasa, 17 Julai 2012

Tentang Sebentuk Senyuman

 puisi kontemporari ni khas untuk si dia ;)


Insan sering membida rupa
siapa paling jelita antara semua
ada cakap wajah bak rembulan
bibir bak delima,rambut ikal mayang,
pipi pauh dilayang, lehernya jinjang,
tubuhnya gebu, matanya bintang
Aduh!
hiperbola tak berjeda selagi insan berbahasa

Tetapi bagi aku
kau adalah kau
tak perlu diksi diskripsi lagi
tak perlu ku terjun ke dalam kamus
tuk mencari kata erti dirimu
malah kalau boleh
aku ingin daftar namamu
dengan definisi sendiri
'Namamu' bererti 'Namamu'

Dan
bila direnung 'namamu'
terpapar legap imejmu
projektornya hati
layarnya mimpi
raut kuduga takkan salah
wajah itu kecil dan comel
tanpa perlu berkata
ia menjadi bentuk
sebuah senyum yang lama kucari

Penghargaanku bukanlah pada senyumanmu
kehadiranmu sudah cukup sarat ditanggung puasku
terima kasih
kerana membuatku tersnyum sendiri



-s.syahmi-
-menyulam rindu-

Rabu, 11 Julai 2012

Jatuh Dipapah

Jatuh satu terkalih arah
dipapah kasih berserah seluruh
dipimpin kemana tidak ditanya
hanya mengharap nasib semata
kalau dipapah seloroh
halanya tidak senonoh
kalau dipapah megah
anggap terubat hati yang patah

Jatuh kedua?
pasrah



-s.syahmi-

Ahad, 22 Januari 2012

Kalau Sayang Lompat


Sayang
kalau sayang lompat
sayang lompatlah tinggi-tinggi
biar lagi tinggi dari abang
biar abang jadi tempat sayang berdiri

Sayang
kalau sayang lompat
sayang lompatlah dengan berhati-hati
kalau terhantuk abang tahan siling
kalau terjatuh abang tahan berbaring

Sayang
kalau sayang lompat
sayang lompatlah tinggi-tinggi
biar lepas abang pun tak mengapa
abang sanggup tunduk kalau tak lepas
abang sanggup duduk kalau masih tak lepas
 
Sayang
kalau sayang dah lompat
sayang dah berdiri atas abang
sayang dah jauh tinggalkan abang 

Sayang tak lupa abang bukan?




-S.Syahmi-
-Upnm,Sg.besi-

Rabu, 21 Disember 2011

Kalau hati boleh mencarut

"kita sering terluka, dan sebagai manusia biasa, kita tak pernah berputus asa dan selalu terjadi hati tak dipeduli, dan diberanikan untuk mencuba lagi, walau parut lama tak terubat lagi"
 
Sekadar hati yang terluka
kau kata picisan saja
kusebut tangis tak berairmata
seru cinta selalu salah berkata
kasihan
ku makin mengerti wujudnya perkataan derita

Ditampal dibalut
seringkali dengan kalut
hati semput dengan parut tak larut
dan tiap kali luka baru disahut
"Hati? Ini calar yang keberapa?"

Aku terbayang
kalau hati boleh mencarut



-s.syahmi-

Isnin, 31 Oktober 2011

Sayang Kau Hilang

Sayang?
Dimana kau menghilang?
dalam lusuh cinta yang kucuba beri kehangatan
kau pendam diri tanpa dendam
kau hilang tika mimpi-mimpi mulai kusam
dengan senyum sinis
aku tersentak
Kenapa kau terus menghilang?

Diam kau menghiris hati
diam kau mengguris perasaan
diam kau menghina kelakianku
diam,kau terus diam

Katakanlah wahai sayang
nestapa apa menduga hatimu
belau cahaya mana yang enggan menyinarmu
aku faham kalau ini semua salahku
tetapi bukan!

Kau menghina erti cinta sesama manusia
moga hatimu tenang sayang
demi dakapanku yang masih terluang untukmu
aku menanti kau pulang
dengan senyum seorang insan yang memahami

-s.syahmi-

-Upnm,kem sg,besi-

Rabu, 5 Oktober 2011

Kerana Seraut Wajah

Kerana seraut wajah yang mengukir hati
secangkir kasih tertumpah isi
selaut harapan tinggi ombaknya
bertembung malu dengan pantai berahi
cinta, sukar ditafsir bila menggunung dihati
menafi segala mustahil 

dan menongkat segala jadi
kerana seraut wajah telah bertakhta dihati



-S.Syahmi-
-Cheras, di atas katil sendiri-

Khamis, 28 April 2011

Segenggam Kelopak Sakura

Segenggam kelopak sakura
diam duduknya dalam genggam
telah ku kutip kelopak merah jambu ini
sepanjang jalan lorong memori
bersama botol-botol sake yang kosong
berisi luka-luka hati yang lohong

Sakura ini dulu tempatnya didahan
redup dahan itulah dulu tempat kita berkelah
aku, kau dan anak-anak kita
damai dalam pelukkan suasana
menumpang kasih redup sakura
merestu kasih dan cinta sekeluarga

(ii)

Onigiri yang kita makan bersama-sama
masih terasa masin dimuka lidah
dan sake yang kau tuangkan untukku
betapa kurindu pada mabuk itu
secawan kasih pada tiap titis
tiada luak mesra kita bergurau
dibawah pohon sakura
bersaksi ribuan kelopak merah jambu

Kumasih ingat
pada tiap-tiap kelopak sakura yang jatuh
menghias bingkai wajahmu
kukalih satu demi satu
sambil mengusap pipimu yang gebu
dan senyum indah terukir diwajahmu
menghentikan waktu
dan jantungku yang berdegup laju
dibawah pohon sakura
bersaksi ribuan kelopak merah jambu

(iii)

Segenggam kelopak sakura
hanyut bersama air laut
onigiri yang kau ingin suapkan
hanyut bersama air laut
sake yang kau ingin tuangkan
hanyut bersama air laut
wajahmu dan anak-anak kita
hanyut bersama air laut

Tinggal aku
mengutip kembali kelopak-kelopak sakura layu
onigiri basi,botol-botol sake kosong
dan luka-luka hati yang lohong

-S.Syahmi-
-Mengenang Tsunami dan nyawa yang pergi-
-Sg.besi-

Lantangmu Yang Kosong

Hari ini
aku berdiri dihadapan pemimpin itu
dengan cuaca kusut dan hati yang serabut
aku berdiri diam disitu
mencabar kewibawaan palsunya dalam bisu

Dia mula bercakap
tentang idealis-idealis kusam yang lama
tersimpan berdebu dia penjuru pejabat
hebat,lebat dan penuh dengan kata-kata kesat
dia menggembur idealis itu kembali sarat

Bukankah bait dan ritma hujahmu sudah lama
mati dikambus bebal mentalitimu yang pemalas?

Biarkan
aku belum punya kuasa
belum punya suara
hanya menurut kata
dan ya,ya,ya
aku pak turut yang hilang segala
sudah terbuang semua
demi monarki dunia

Rabu, 2 Februari 2011

Sebuah buku bertajuk aku


Jika aku bertanya pada hari
mengapa pelangi lain warnanya?
mengapa awan kaku tidak ditiup bayu?
mengapa embun tidak lagi sedingin dahulu?

Sinis
senyum hari padaku
katanya dengan megah mencari salah
"Aku ialah semalam,sekarang dan akan datang
tiga wajah yang sama yang kau gelar masa
bezanya pada cara kau lihat aku
bezanya pada cara kau mengisi aku
bezanya pada cara kau menghayati aku"

Diam
termenung dalam damai pemikiran
kata-kata hari membuat aku terkapai-kapai mencari pendirian
dalam konteks perbuatan dan rancangan masa depan
dalam keputusan tanpa penyesalan
akan aku ukir harapan
dari ketulan-ketulan pengalaman

Kalau boleh
ingin aku kumpul semua pengalaman
kisah-kisah sedih dan saat-saat gemilang
lalu dijilid menjadi buku kehidupan
letaknya mungkin
di bucu kanan rak buku terakhir
dibahagian rujukan perpustakaan Tuhan
sebuah buku yang pasti disaluti debu
sebuah buku yang bertajuk 'AKU'
-S.syahmi-

Selasa, 1 Februari 2011

Selamat datang lagi cinta

Owh?
pintu diketuk bertalu-talu
cukup bising sekali di lanjut usia
Ah!Cinta!
Kau datang lagi!
Kali ini membawa apa?
bahagia?atau datangmu
sekadar mengecewakanku lagi?

Cinta O Cinta
entah berapa kali perlu kau kunjungi aku
agak kurang sopan kau datang mengejut
sekurang-kurangnya telefonlah dahulu
atau sekadar Sms memberitahu datangmu

Jemput masuk cinta
lama kau menunggu dihadapan pintu hatiku
tak pernah aku menafi datangmu
wujudmu sesuatu yang perlu
mencukupkan tabi'i seorang manusia

Jemput duduk cinta
atas sofa realiti;maaf ianya keras

Jemput minum cinta
kau mahu kopi kasih sayang atau teh rindu?

Jemput makan cinta
jemput-jemput ini perisanya naluri manusia

Apa khabarmu cinta?
lama tidak ku melihatmu
kau agak kurus sekarang
adakah salahku
yang kurang memberi kau makan?

Terus-terang sajalah cinta
apa hajatmu kali ini?
nak menetap disini?
atau sekadar menunjukkan parut
terpatah dua dahulu?

Cinta O Cinta
kau masih bisu
tak mahu bicara
dan kacamata hitam menutup mata
menutup kelabu buta matamu
(Benar,cinta tak kenal sesiapa!)

Menetaplah cinta
kekal selamanya
namun jika kau pergi
aku tetap menanti kau kembali
di pintu hati
ketuklah lagi....

-S.syahmi-

Mengembara bersama

Seluas sayap imaginasi yang mampu membawaku
ku bawa dikau bersama meluncur bayu
di awan lalu mengais langit biru
"Kemana hendak dituju?" bukanlah persoalan baru
tetapi titik mula untuk satu pengembaraan




Ku ingin
membawa kau menyentuh bucu-bucu piramid batu
mengagumi kebongkakkan Firaun di masa lalu
yang akhirnya tetap tunduk pada tuhan yang satu
kini matinya hanya mumia dalam makam batu




Ku ingin
membawa kau bersandar di menara condong Pisa
menghayati kesilapan yang menjadi pujaan
menyedarkan kau maksud sinisnya
dimana wujudnya orang yang memuja kesalahan




Ku ingin
membawa kau ke tingkat 3 Menara Eiffel
melihat cara hidup romantik orang Perancis
dan tegas kebebasan yang mereka pertahankan
seperti roti Perancis itu sendiri
keras keraknya kontradiksi isinya yang lembut sekali




Ku ingin
membawa kau ke pinggir obor Lady Liberty
menyentuh bara palsu sedingin salju
seperti hati pemimpin negara ini
sinarnya terang sekadar kunang-kunang
munculnya hanya diwaktu malam




Ku ingin
membawa kau ulang-alik di tembok besar China
merasakan kepayahan pembina-pembina
dan merasakan senyum puas hati hamba-hamba
yang membina tanpa menyangka kekalnya
membawa bangga ke tulang-tulang mereka
yang kini bersepah entah dimana




Ku ingin
membawa kau bersiar-siar di taman tergantung Babylon
menyedut resah Nebuchadnezzar menjaga isterinya
yang gering dalam merindui bau-bauan flora Parsi
namun akhirnya gugur di perbatasan sejarah
tenggelam dan karam sebagai kenangan masa silam


Cuba
bezakan semuanya dalam diam
dengan pemikiran arkitek monumen tersergam
indahnya perasaan dalam binaan




Cukuplah sayang
mari kita mendarat di realiti dinihari



-S.syahmi-
-Cheras-

Pakcik rumah sebelah dan meja kopi

Pakcik rumah sebelah pernah bertanya pada aku

apa makna keluarga bahagia?


Jawabku

"Duduk di meja kopi di siang hari

melihat ibu menari diwaktu pagi

program langsing badan yang baru disertai

melihat adik berlari-lari

mungkin salah ibu memberi dia minum kopi

melihat ayah mencari roti

masih belum kenyang dengan sarapan pagi"


Pakcik berkerut dahi dan bertanya lagi

apa makna keluarga tidak bahagia pula?


Jawabku

"Duduk di meja kopi di malam hari

melihat ibu keluar berpakaian seksi

mungkin Chow Kit,mungkin lorong Haji Taib

melihat adik masuk ke bilik air

seronok dengan gam tayar yang baru dibeli

melihat ayah mengigil tak henti

megharap ibu pulang dengan ganja di subuh nanti"



Kerut dahi pakcik bertambah lagi

lalu pakcik bertanya lagi

dimana aku berada di kedua-dua situasi tadi?


Jawabku

"Masih lagi di meja kopi tadi

sambil menulis puisi ini

sambil berharap esok lebih baik dari hari ini"



-S.Syahmi-

-Upnm,Sg.Besi-

Kujamah suara dari lagu-lagu hiba


Suara adalah transmisi hati yang bergelora
tangkap edannya
lerai gemalainya
tafsir gundahnya
cium hibanya
dabik bangganya
fahami harapnya
selami nasibnya
menggembur jasad
mengabur maksud
antara luah kata-kata dengan warna-warna dunia

Melata jiwa bersama suara
lena dalam hentakan beribu warna


-S.Syahmi-
-Upnm,Sg.besi-

Jumlah Paparan Halaman