Pengikut

Rabu, 21 Disember 2011

Kalau hati boleh mencarut

"kita sering terluka, dan sebagai manusia biasa, kita tak pernah berputus asa dan selalu terjadi hati tak dipeduli, dan diberanikan untuk mencuba lagi, walau parut lama tak terubat lagi"
 
Sekadar hati yang terluka
kau kata picisan saja
kusebut tangis tak berairmata
seru cinta selalu salah berkata
kasihan
ku makin mengerti wujudnya perkataan derita

Ditampal dibalut
seringkali dengan kalut
hati semput dengan parut tak larut
dan tiap kali luka baru disahut
"Hati? Ini calar yang keberapa?"

Aku terbayang
kalau hati boleh mencarut



-s.syahmi-

Khamis, 15 Disember 2011

tanpa tajuk (III)

malam
aku mencandat seribu keinginan
dengan kepal noda dijadikan umpan
nyata,mangsa lebih cekal
menyambar sebelum terlontar
umpan dicandat habis
sebelum sempat kukolontar ke laut malam

mangsa malam
yang bersembunyi dalam kelam
kau bernama
ghairah
nafsu
keseronokan
kealpaan
duniawi

kau malam
aku tahu kau tidak bersalah
kau selimut alam
mendodoi bayi akhirat
memimpin tangan tua sedunia

Jumaat, 9 Disember 2011

Airmata didada

Cinta ini berbau sedih
perit hidung hiba kuhidu
kucium bau sendu basah
mari
kukesat airmata yang masih mengalir

Ah!
dakapan ku terasa hangat
dengan kau dalam pelukan
cukuplah sayang cukuplah airmata
tak perlu kau basahi dadaku dengan ia
basah dimatamu darah dihatiku

Gusar hati seorang lelaki
bila airmatamu itu
puncanya aku



-S.Syahmi-

Khamis, 8 Disember 2011

Tentang Kopi














Kucumbu bibir cangkir
rakus,kuteguk tiap degup mengalir
pekat hitam kopi secangkir
mengingkar dengkur
menebar rasa dihujung deria

Mata yang terbuka diberi dunia
tekak menjadi saksi alibi
saat degup-degup kopi
mengalir dalam diri
menjadi raksa dalam nadi tiap lelaki

Aku pasti
bukan saja puisi ini
yang sekadar lebih dari memuji kopi
malah jutaan hati lelaki
yang tersenyum meminum kopi
melayani karenah lembap pagi
mesra
menghidupkan pagi bersama isteri

-S.Syahmi-

Isnin, 5 Disember 2011

Kucuba Bintang-bintangmu Satu Persatu

Kumasih keliru
dengan cahaya beribu-ribu
dimana antara gemerlap bintang
yang mana satu akan ditekap?
dimana antara terang bintang
yang mana menyuluh tenang?

Kuhanya berharap yang terbaik
lalu kucuba bintang itu satu-persatu
dan malam sering cemburu
pemandangan aku dan bintang bercumbu

Hati semuanya bersatu
dalam lagu dan tarian biru
canda syahdu antara bintang dan aku
Maaf malam
kan kuterus cuba bintang-bintangmu satu persatu
sehingga kujumpa bintang milik aku!

-S.Syahmi-
-Kem sg.besi-

Selasa, 15 November 2011

tentang hati, awan unggu dan malam pekat biru

Awan unggu dan langit biru pekat merentangi malam
kusabit salah pada neon kota yang terang-benderang
kuterbit cemburu pada bintang-bintang yang hilang
dibalik langit malam yang gersang
tersembunyi senang
 
Kukatup hati dengan kotak fikiran
kugarap senyuman dari bingkisan murung
kupadu semua menjadi jisim abstrak
lalu kulempar pada bintang-bintang
bersama menghilangkan diri
dibalik langit malam yang gersang
tersembunyi senang

Kurebut segala gundah dalam hati
kusebut satu persatu keliru
kulerai mimpi dari lembar ke helai
khusyuk
nota songsang tentang hasrat berulang
rapuh jadi debu dari abu
yang dibakar segala bohong
lalu hatiku tersorong bersembunyi
bersama bintang-bintang yang hilang

-S.Syahmi-
-Menduga hati yang malang besama bintang-bintang-
-Upnm-

Isnin, 14 November 2011

Dimana kau letak hati dalam hari?

Kukucup bibir pagi
basah embun dan suam mentari
masih jelas rindu yang bersaki-baki
tentang bulan yang yang sedang beradu
tentang pungguk mencari dengkur
tentang bintang hilang dikejora
tentang sayang yang mula dibina
tentang kekasih yang berpeluk masih

Kita kelabu dalam pagi
masih lagi dalam gelap malam
walau mentari tegar menyiram
masih terasa hantukan bantal
masih terkenang mimpi bujang gersang
masih terfikir rindu bayangan
masih lagi berangan
"kalaulah semalam aku berpasangan..."

Kita semua insan
masing-masing berbin dan binti
paling tidak nama keluarga atau 'anak kepada'
sering terikat pada jadual dunia
sering lupa dalam hidup kita
tentang rutin alam
antara siang dan malam
pagi,tengah hari dan petang
senja dan subuh
dan hari-hari yang berlabuh
cuba kau tanya pada diri
Dimana kau letak hati dalam hari?


-S.Syahmi-
-Upnm,Kem sg.besi-

Sabtu, 12 November 2011

kukalih hati dan hari














kutatap mentari hari demi hari
kusedar awan jitu tetap berlalu
membawa bersama mendung palsu
membawa bersama murung dan pilu

Kukalih hati mengekori mentari
mengendah resah dengan kasar sekali
kutaut rindu demi rindu
tetapi tak temu hujung disitu

Aku memilih rembulan
yang menyinar malam yang gelap
daripada mentari
yang menyuluh hari yang perih


-S.Syahmi-
-Upnm,sg.besi-

Selasa, 1 November 2011

Sonata Sayu 11 :Kau Sayang

Aku menegur simpati darimu
dari denai berdarah parut hati tercalar
kau tersenyum abstrak
menghina kata-kata setia
yang ku panjatkan pada tiap kalimah cinta

Insan
yang kusayang dengarlah luahan
sedikit cerca dari hati tersinggung
kau sayang pendusta tegar
kau sayang pembunuh perasaan
kau sayang mencekik kehidupan
kau sayang pemusnah segala harapan
kau sayang...

Kau masih lagi insan yang ku sayang



-S.Syahmi-
-Dengan hati yang perit malar, kucatit kenangan gusar-

-Upnm,sg.besi-

Menuju Cahaya (Membelakangi Bayang)

Kerna segenggam cahaya
kita sering pertikaikan dimana bayang berada
dibelakang kita penuh noda dan dosa
tika kita berdepan cahaya
dan bangga kerana menujunya
tanpa menoleh bayang dibelakang
yang sentiasa mengekori kita

-S.Syahmi-
-Upnm, Kem sg.besi-

Isnin, 31 Oktober 2011

Sayang Kau Hilang

Sayang?
Dimana kau menghilang?
dalam lusuh cinta yang kucuba beri kehangatan
kau pendam diri tanpa dendam
kau hilang tika mimpi-mimpi mulai kusam
dengan senyum sinis
aku tersentak
Kenapa kau terus menghilang?

Diam kau menghiris hati
diam kau mengguris perasaan
diam kau menghina kelakianku
diam,kau terus diam

Katakanlah wahai sayang
nestapa apa menduga hatimu
belau cahaya mana yang enggan menyinarmu
aku faham kalau ini semua salahku
tetapi bukan!

Kau menghina erti cinta sesama manusia
moga hatimu tenang sayang
demi dakapanku yang masih terluang untukmu
aku menanti kau pulang
dengan senyum seorang insan yang memahami

-s.syahmi-

-Upnm,kem sg,besi-

Khamis, 6 Oktober 2011

Senandung Seisi Alam : Bila Pelangi Menari Sendiri











Bukankah itu sebentuk hati
yang sering kita kejar bersama pelangi
yang kita jalinkan rindu antara tapak kaki kanak-kanak
dan pelukan bukit basah yang lenggang
Kita menerjah rumput untuk mencari kasih bukan?

Seringkali kita mengalih sayang kita pada manusia
sedang warna pelangi menari sendiri
kita biar realiti menduga diri
asalnya kita dari bumi
Lupakah dimana kita berpijak?

Lain hari
bila pelangi menegur penglihatan
bila bukit basah mengajak kita berlari
bila rumput hijau menjadi permaidani
Tak salah bukan untuk kita bersyukur pada Illahi?

-S.Syahmi-
-Upnm, Sg.Besi-

Rabu, 5 Oktober 2011

Entah











Bicara kita sering mengenai gundah dan amarah
tentang dendam tak sudah dan jenayah bersepah
tentang dirogol hilang maruah dan seks bebas tanpa maruah
tentang bayi dibuang bagai sampah dan gejala dadah
tentang arak ditonggang dan darah yang tumpah

Dimana khayal-khayal inderaloka
tentang dunia kayangan dan bidadari bayangan
tentang seloka kemenangan dan syair keindahan
tentang pantun kedamaian dan tarian kegembiraan
tentang kemanusiaan itu sendiri
tentang kehidupan yang kita sering raikan

Yang jadi yang kita mengerti
bukannya segala yang tuhan beri
yang kita jadi jauh dari Illahi
yang salah kita mengerti
dihujung nanti pasti diadili


-S.Syahmi-
-Upnm,Sg.Besi-

Kerana Seraut Wajah

Kerana seraut wajah yang mengukir hati
secangkir kasih tertumpah isi
selaut harapan tinggi ombaknya
bertembung malu dengan pantai berahi
cinta, sukar ditafsir bila menggunung dihati
menafi segala mustahil 

dan menongkat segala jadi
kerana seraut wajah telah bertakhta dihati



-S.Syahmi-
-Cheras, di atas katil sendiri-

Isnin, 26 September 2011

Kira2 cinta

Aku menatap papan hitam
Keliru dan celaru dalam satu waktu
Apa salah formula ku?
Padam tulis padam tulis
kapur tulis pun jadi nipis

Aku kaku dalam kiraan cinta
kau kata aku kau cinta
aku kata kau kucinta
satu tambah satu
Dua bukan?
Kenapa tiga?

Debu melompat di tangan menepuk
Kapur tebal menyemak di tangan
Luka bebal melekat di hati
sebakku sesak
airmata dan debu berterbangan

Aku keliru
Airmataku demi debu atau kamu?

-S.Syahmi-

-S.Syahmi-
-Upnm,sg.besi-

Jumaat, 16 September 2011

tanpa tajuk (II)

Kenapa hati ini masih tertanya-tanya
degup jantung dan denyut nadi ini kerana apa
senyumnya kalis murung 
wajahnya seri di hati
bangkitlah kembali cinta yang telah mati


Dia bagai senandung lagu
kerap bergetar di rongga telingaku
bunyinya merdu
walau sekadar dengus-dengus nafasnya membisu

Seribu bayangnya tanpa wajah jitu
kerap menjadi hantu memburu mimpiku
kugentas nafasmu nafasku putus
sayang bersalut sayang
kasih bertaut kasih

Kita memilin jalinan atas ikatan
menduga cinta untuk diuji selamanya


-s.syahmi-
-lumut-

Khamis, 15 September 2011

Mencari Esok

Antara senyum dan cebik
ada cebis-cebis jernih
kejahilan semalam aku kesat disitu
kotornya melekat pekat
peringatan untuk aku yang pernah sesat


Kilau-kilau dosa silam
gemerlap malap dalam kelam
melepas spora hitam
terbang mengisi ruang
mengabur mata menyuluh kebebalan
menunjuk terang bodoh yang semakin menjadi


Kita gersang sesuatu
hala tuju menyeteru  nafsu
hakikatnya akhirat yang menyeru
terjadinya dunia yang diburu


Tuhan
tolong aku


-s.syahmi-
-lumut-

Ahad, 11 September 2011

Artikel Dari Hati

Tidak mungkin kau fahami tiap-tiap definisi yang hati cuba memberi sebab engkau sesat mencari diri dan termanggu meneliti semalam hari. Kau gian minuman itu bukan? Darah dan airmata dari hati terluka dan mata yang tak tertahan sebak didada. Kau hirup tanpa meninggalkan setitis untuk diubati dengan rasa gembira , sedap bukan? Kecewa,terluka,hiba,hampa dan semua rasa yang menggambarkan seksa,dan kau juara, menghitung bangkai-bangkai hati yang tersadai,Piala!

Gendang gendut tali kecapi, luka hati baru puas hati
Siakap senohong gelama ikan duri, cinta kosong selama hati tak mengerti


Igau-igau selagi mimpi-mimpimu adalah mimpi-mimpi hancur dari hati yang berderai,mimpi ngeri.

-S.Syahmi-
-Lumut-

Selasa, 30 Ogos 2011

Moga Senyumnya Kembali














Asbut kemarau kasih berpilin
menjadi ribut istighfar
goncang jiwa digegar nestapanya
dalam laung
"Sayang,sayang dimanakah arah tujuku sayang
 hilang,hilang dalam perhentian hati
 hilang,hilang erti harga diri"

Laung-laung itu stanza tetap
diulang-ulang sehingga nafas tak kesampaian
dia yang dicari-cari
tetap tak menjawab
lesap dalam penyesalanku
lesap pergi bersama patah hatinya

Sekadar memohon maaf yang takkan diberikan
aku cuma mampu berharap senyumnya kembali dibibir

Isnin, 29 Ogos 2011

Hati dan kali berdarah

Bila kau lihat jendela itu
sendu-sendu lalu memburu kembali
kenang senang payah diharung dahulu
sepadu menjadi selagu rindu

Diam seribu bahasa
ketagih seribu penjelasan
inginku pecahkan sunyimu
mengharap jawapan berduri
biar sakit asal puas hati
dari kau terus berdiam diri

Kali mengalir dari dalam hati
alirnya darah deras dalam diri
hanya aku, hati dan perasan
mengenali erti sakit ditinggal sendiri

Kelibat dan Mawar Mati

(i)
Kau kelibat keseorangan
bersama ribut perasaan
datang menyemai
sekuntum mawar mati


(ii)
Terima kasih harapan
kerana memberi sebuah sandaran
sebatang tiang untuk berpegang
menghibur hati dalam takafur gersang
 

Sekelibat melayang menjauhkan diri
terbit titip tanya dari kosa kata
Kenapa kelibat itu pergi?
Kenapa kelibat membisu?
Kenapa kelibat itu
meninggalkan sebentuk hati
yang palsu?
 

Kau kelibat keseorangan
bersama ribut perasaan
pergi
bersama sekuntum mawar mati

Ahad, 28 Ogos 2011

Menghentak Seribu Warna

Kelibat seribu senandung lagu-lagu berlalu
sepi merebahkan rentaknya pada bisik syahdu
lalu kau datang dalam diam mempersona
menghentak seribu warna dari dunia kelamku
 

Kau pesimis abstrak dengan rimbun rindu di hati
menjengah ke laut hati bersama kail sanubari
umpannya suara sasarannya hati
hadiahnya cinta
(selagi jiwa masih bergolak madah pujangga)



Masih tentang rindu dan cinta kita berbicara
takkan sudah walau sampai akhirat sana
seguni budi selaut kasih segalaksi cinta
kemas diikat dalam bekas kecil kehidupan

Isi yang kita penuhi diri
meski raksanya darah dan kelikir nafas
hidup tetap hidup
mati tetap mati
maka
bercintalah
kerna itu yang memberi rasa

Sabtu, 25 Jun 2011

Senandung Seisi alam : Hati Daun

Ranggup
patah-riuk dedaun kering jelas ditiap tapak
daun kerin
g, aku, nasib dan hati yang malang
Kita sering patah dan hancur bukan?

Dedaun kering
kau tegur aku, cukup mesra sekali
kau jamah rambut aku seperti sentuh ibu
kau sebati dengan hatiku
tika kamu berdua kupijak kecewa

Dedaun bisu betapa ku mahu menjadi
keringmu gugur sunyi ke bumi
layumu tiada siapa yang peduli
Dimana hatimu dedaun?

-S.Syahmi-
-Sg.besi-

Senandung Seisi Alam : Angin,Berbisiklah


Bila angin membisu memberi seribu tanya
kemana perginya puput dingin dan mesra belainya?
kemana tujunya dari melingkari dahan noda dan rasa?
seribu kata hilang dari pungutan angin
tika angin bisu memukul wajah
hilang manggu biru
dan angan lalu berkecai bersama realiti palsu

Tolong angin

berbisiklah kembali
relau hati ini
mendamba senandung seribu bunyi
alam yang berisi

-S.Syahmi-

Khamis, 23 Jun 2011

Senandung Seisi Alam : Kehilangan

Sesak dada berbelak batuk-batuk
asap cemar ketar-ketar diisi dada
Modenisasi? Bunuh diri?

Tumbang satu tumbang dua tumbang semua
pohon dulu mesra meyambut panjatku
pohon dulu meneduh temu cinta pertama
pohon dulu ramah menghitung usia
pohon kini redha bertemu gergaji
pohon kini redha menjadi kayu api
pohon kini redha dibuang mengganggu jalan
Pembangunan? Pengorbanan?

Hilang rimba didada bumi
hilang hijau dilusuh hujan
hilang kali ditambak berkali-kali
hilang merdu dari kicau burung
Kemajuan? Kehilangan?

Rabu, 22 Jun 2011

Senandung Seisi Alam : Katakan Malam!



















Katakan malam!
Siapa yang membunuh neonmu sayang?
Siapa yang menduga hatimu malang?
hitammu keputihan
putihmu dalam kehitaman
tika bulan menari solo di lantai kesunyian

Ketepi bintang-bintang!
Julangkan nur sayap sulung ke tiap hati murung
kan tiap juang kan terasa menangnya!

Katakan malam!
Semua duga yang kau selam dalam dansa kelam
Adakah pekik cengkerik dan riuh rindu pungguk menjadi musikmu?
Maka bisikkan lagu-lagumu padaku diam-diam
menyubur dengkur-dengkur yang memujamu malam
Sayang!

Katakan Malam!
Parut yang tergarit angkara siang
Siapa yang mengusung suara kosongmu sayang?
Siapa yang mengendong hasrat siang ke dada malam?
dan kau malam, tanpa jemu
menyatakannya dalam mimpi-mimpi berulang

Sayang malamku sayang
kau enggan menyinggung perasaan siang
Katakanlah malam!
Nafikan sayangmu pada siang!
Katakan!

(Lalu siang melempar bayinya
fajar biru yang jelas cemburu
kasihan, malamku kan terus diburu)


-S.Syahmi-
-Sg.Besi-

Sonata Sayu 10


Sederap tapak kaki hentaknya
sebentuk hati retak hendaknya
sayup langkah membunuh tiap suara
mayatnya hati
bangkainya cinta

Jika hati ini masih mampu memberi bicara
jika wajah ini masih tak malu meronta cinta
pasti tiap udara yang kau nafaskan
sarat rayuan dan keluhan
pada lafaz putus cinta darimu
Senang bukan?

Kenangan takkan putus mengimbau
opera palsu padat dengan sayang jitu
kau cipta melodi itu
kau mainkan watak itu
kau lagukan senandung itu
Tahniah!
selaku penonton
aku cukup terhibur sekali

Satu tepukan syabas buatmu sayang!


-Siri ini terakhir dalam sonata sayu-
-S.Syahmi-
-Sg.Besi-

Selasa, 21 Jun 2011

Sonata Sayu 9

Sekuntum hati jatuh layu
kering dan reput
seperti kata-kata dari mulutmu

Neon sering mengisar malam
menyembur garing udara ke sayap rindu
aku menyedutnya bersama asap rokok
benar
rinduku lebih berat dari segala curut
lebih membunuh dari racun kusedut

Kusut hati sering membuah tanya
dimana sedar tika mimpi memberi ucaptama
dan kasih
hilangmu bersama runtuhan dinding
tembok janji kita dibina bersama
hilang
dalam asbut sesal dan asap penyesalan
dalam celah batu sisa
hatiku hancur bersamanya


-s.syahmi-
-Upnm, kem sg.besi-

Khamis, 16 Jun 2011

Sonata Sayu 8

Jika
waktu melewati memberi tanda tanya
kemana tujuan hati yang bergelora
kasihan pada kata sekat didada
tersinggung hati
melihat kau pergi

Demi
cinta ini kuharap ia abadi
kekal dihati bersemi sekali lagi
kudisini kan setia menanti
walau engkau sentiasa disisi
sayang hatimu belum kumiliki

Yang kupinta ditiap doa
Untuk kita berjalan bersama tanpa tanya
Seiring hati cekal bersama
Hanya irama kisah cinta kita
Alunan suara dan lirikan mata kita
Lagu ini persembah kasih dan rindu
Ikut hati,naluri dan utuh kasih
Zarah cinta memberi segala cahaya
Akan aku berikan segala

Demi cinta yang belum terukir jawapnya
Akal menafi hati yang beria-ia
Nafas kita mula bersatu dalam irama

Sayang
Yang ku mahu bukanlah jawapan
Apa kuharap senyum itu kekal
Hati itu jangan kau paksa
Menunggumu satu tanda tanya
Inilah saat tercipta kisah cinta

Dalam hati
kau
digarap abadi

-S.Syahmi-

Rabu, 15 Jun 2011

Sonata Sayu 7

Aku menyusun kata-kata dari diksi peribadi
tanpa sedar hatiku tertumpah isinya
lalu mengotori kertas jernih pulpa kasih
berkilau ia,hitam dan syahdu

Hairan
dulu warnanya merah berseri
darah asli yang mengalir dari hati
lumpur rindu sering berkeladak didasar
semuanya berkisar,mengalir deras tanpa sasar

Kau yang memijak arusnya
dengan kaki kotor mu itu
sekadar membasuh kaki
penuh senak kau tinggalkan
jelas tampak daki penipuan
tika asmara dihina ertinya
tika itulah
kakimu pergi
dalam langkah meninggalkan aku
sendiri

Selasa, 14 Jun 2011

Sonata Sayu 6

Dulu
senyum itu sering menghias wajah
senyum itu sering menyambutku
senyum itu sering mencerca gelisahku
senyum itu sering membunuh resah

kini
senyum itu mencebik luahku
senyum itu memecah tenangku
senyum itu merobek kenangan lalu
senyum itu menyumbing senyumku

senyum itu tidak lagi bererti
menggubal definisi senyumku sendiri

Sonata Sayu 5

Gusar
malam mengacau-bilaukan keadaan dengan sunyinya
gusar
hati ini seakan mati kekata dan isi
resah
semua hilang dalam asbut keluh dan angan alpa
resah
kau aku itu ini semua ,cantum, sampah
buang

Hitam warna dunia
putih warna hati
dunia hilang cahaya
hati hilang cinta
yang dulu merah pekat mengisi
sebentuk hati yang retak kini

Darah cinta tetap mengalir
deras melalui celah luka
yang ditoreh oleh kata-kata
'Selamat Tinggal Sayang'

Sonata Sayu 4

gadis-gadis didunia mendabik dada
'hati kami tak ada seorang lelaki yang memahami'
tetapi jelas kulihat bersepah
disana sini guris hati dan garit perasaan
jelas mewarnai tiap celah hujah dan majalah
tiap pasrah sedih dan musnah jelas tersurat
tahniah wanita!
kamu semua memang pandai memberi luah

tetapi kami lelaki
punya ego megah dan unggul
airmata bukan hak kami untuk dititiskan
cerita sedih bukan untuk kami kisahkan
kami tak punya pangku untuk menumpang kepala
kami tak punya rakan tuk berkongsi cerita

kami hanya ada mereka
diri, perasaan dan hati
masing-masing saling berkongsi
bahagia,derita,suka-duka kehidupan
dan cinta
yang kau ,wanita, ambil
dan tak peduli
dengan alasan
aku ini
lelaki

Sonata Sayu 3

jika sempurna kau cari
maafkan kejahilan ku
aku bangga dengan ketidaksempurnaan ku
dalam dakap dunia aku mendabik dada
biar aku bodoh tetapi bernyawa
biar aku dunggu tetapi bermaruah
biar aku x cukup sifat tetapi tak merempat
aku manusia yang sempurna bukan segalanya

jika cinta kau cari
cinta yang aku beri
maafkan caraku yang kasar
ego seorang lelaki
tak membenarkan air mata ini metiki lagi

jika kau ingin melangkah pergi
dengan alasan aku ini tidak sempuran
aku cukup berpuas hati
aku manusia yang sempurna bukan segalanya

hanya mengenal kasih keluarga
dan sentiasa memohon restu yang maha Esa

Sonata Sayu 2

semalam kita berpimpin tangan
mengisi bait puisi dengan cinta suci
kini hati masing2 telah menepi
bingkis cinta yang berkarat dihati

gebu pipimu dulu kupuja
dalam tiap usap jari kasarku
kau tepis lemah dengan jari mulusmu
syahdu
dunia berlagu bila kasih berpadu

dunia bagai kaca berhias
indah berkilau dalam gemilang bahagia
dan kau yang berhati batu
melontarkan hatimu tepat ke kaca itu
lalu pecah berrderai
tika hatimu dibuang membolosi cermin itu

tinggal aku
mengutip serpih2 hati batu
menyusunnya semula dalam sengih berairmata

Sonata Sayu 1

langkah demi langkah
diheret sayu hati yang mati
rengus2 angin enggan berbicara
seakan mengerti
hati seorang gadis

ngilu hati dihiris sembilu
pedih dan sedih bergabung dalam satu rima
tarian yang lemah dan pasrah
rela hati mati dari digarit derita cinta
melihat cinta pergi bersama bukan dirinya

dia memilih mati jasadnya
dari hidup bersama hati yang mati

Sabtu, 21 Mei 2011

lirik: Sehari selepas abadi

Aku yang berjalan sendiri
dititian hari-hari
menatap wajah waktu
menatap gambar kamu
terkenang kisah lalu
sayunya oh hatiku

*korus
hati ini masih rindu
pada kasih dan lagu
yang dulu kita nyanyi bersama

selagi waktu perlu
aku akan menunggu
untuk bersama semula
walau ia tak akan terjadi

walau sehari selepas abadi
aku kan tetap menanti*

pergi kau pergi
tinggal aku sendiri
kesal dan sedih
hati meratap pedih
disaat kau pergi
tinggal aku sendiri

*korus

*bridge
Aku yang mengibar setia
panji kasih sejati
hingga engkau kembali
walau sehari selepas abadi


*korus


-S.Syahmi-
-kalu ad sape2 sudi nk lagukan, silalah eyk?
jgn lupe krdit sudah,hu3-
-cheras-

Khamis, 12 Mei 2011

Benci dan Cinta, kau

Aku yang menangis
pada tiap senyum tercipta
pada tiap tawa disua
pada tiap manja digoda
pada tiap rindu dihulur
pada tiap abjad diluah

Gabungan jelik dan abstrak
indah dan terseksa
kerana gadis yang kucinta
bukan milikku
walau sentiasa bersama

-S.Syahmi-
-Sg.Besi-

Aku dan Kau dan Dia

Keindahan dalam bait puisiku
tak bisa kutanam sendiri
tanpa disemai kasih dan budi
tanpa kamu yang sentiasa disisi

Sedih itu kurasa
ditanam pedih oleh cinta
aku faham
kalau bahagia itu kamu
dan derita itu aku
Layakkah aku mentertawakan kamu semua?

Aku cemburu
yang buta mungkin
kerana aku dan kau dan dia
masing-masing saling menyinta

Aku mencebik muka pada kekata
"kalau kau bahagia
aku turut bahagia
walau kita tidak bersama"

-S.syahmi-
-Sg.besi-

Komen dari Puzi Hadi

• “Ku Keman Lagu Yang Kelu”, 24 April 2011
• “Segenggam Kelopak Sakura”, 30 April 2011

PENYAIR s.syahmi (Selangor) mengemam puisi perkasihan “Ku Kemam Lagu Yang Kelu” memasukkan foto hitam-putih seorang gadis dengan jari di mulut non-verbal, minta diam. Puisi ini keakanan lirik lagu untuk dinyanyi pasti berkesan jadinya!

KEDUA, puisi tsunami Jepun “Segenggam Kelopak Sakura” dengan foto jambangan bunga sakura dan alunan lagu instrumental Sad Love daripada Iris Ost. Garapan menarik dengan satu sudut penggambaran puisi iaitu bunga sakura yang sedia terkenal dan diketahui ramai. Penyair berjaya secara naratif menguliti kelopak bunga sakura apatah sambil menjamah makanan Jepun, onigiri dan minuman sake (kita boleh minumkah?). Apapun penyair melihat bunga sakura dengan “… ribuan kelopak merah jambu”.

Isnin, 9 Mei 2011

Tangis Rindu

Bingung hati pada sepi
disapa rindu yang sekadar berlalu
dibingkis tangis yang sesak didada
yang merosakkan hias di muka

Jelas, airmata masih panas menitis

Raut wajah gadis jelita
kini menjadi bengis dan berairmata
dan si teruna
terus berlalu tanpa kata

-S.Syahmi-
-Lusa Viva beb!! wismi gudlak-
-Upnm, Sg.cinta-

Sabtu, 7 Mei 2011

Beneath This Breathing tree

Come my friend,
join me beneath this breathing tree,
and sit on the crispy grass,
smother yourself with its scene,
full of emotion and laden with wisdom,

Be ease my friend,
each worry smeared your face with wrinkles,
alas, the city neon still blind you with lies,
now that you with me under this tree,
throw all your stress and be free,

Don't worry my friend,
all the unsolved hectic of your life,
are fugitive running in its own prison,
never to be free, never to be captured,
but you my friend are their warden,
taking of a day off sitting beside me,
under this breathing tree,

Smile my friend,
under this tree there are rules to be obey,
no worry, no lies, no reality,
relax and then you will see,
it's just me,
and this breathing tree

-s.syahmi-
-English pun boleh maa-
-LOL-
-Upnm, Sg.besi-

Dia Berani Kecut

Dikikis,dikikis,dikikis
kata-kata abstrak yang meringkuk
dalam danau nyaman yang ketagih riuh
dalam hati yang mencari kasih
tenggelam dalam diam
kelam

Kalut dan akhirnya terkulai
dia berputus asa dalam mencari nyata
dia menyergam keberaniannya untuk terus kecut
untuk tidak lagi mencari

Sekadar berpuas hati
dengan senyum yang pernah dimiliki
dia berani
dia sendiri

-S.Syahmi-
-mood:ironi-
-Sg.Besi-

Khamis, 28 April 2011

Segenggam Kelopak Sakura

Segenggam kelopak sakura
diam duduknya dalam genggam
telah ku kutip kelopak merah jambu ini
sepanjang jalan lorong memori
bersama botol-botol sake yang kosong
berisi luka-luka hati yang lohong

Sakura ini dulu tempatnya didahan
redup dahan itulah dulu tempat kita berkelah
aku, kau dan anak-anak kita
damai dalam pelukkan suasana
menumpang kasih redup sakura
merestu kasih dan cinta sekeluarga

(ii)

Onigiri yang kita makan bersama-sama
masih terasa masin dimuka lidah
dan sake yang kau tuangkan untukku
betapa kurindu pada mabuk itu
secawan kasih pada tiap titis
tiada luak mesra kita bergurau
dibawah pohon sakura
bersaksi ribuan kelopak merah jambu

Kumasih ingat
pada tiap-tiap kelopak sakura yang jatuh
menghias bingkai wajahmu
kukalih satu demi satu
sambil mengusap pipimu yang gebu
dan senyum indah terukir diwajahmu
menghentikan waktu
dan jantungku yang berdegup laju
dibawah pohon sakura
bersaksi ribuan kelopak merah jambu

(iii)

Segenggam kelopak sakura
hanyut bersama air laut
onigiri yang kau ingin suapkan
hanyut bersama air laut
sake yang kau ingin tuangkan
hanyut bersama air laut
wajahmu dan anak-anak kita
hanyut bersama air laut

Tinggal aku
mengutip kembali kelopak-kelopak sakura layu
onigiri basi,botol-botol sake kosong
dan luka-luka hati yang lohong

-S.Syahmi-
-Mengenang Tsunami dan nyawa yang pergi-
-Sg.besi-

Lantangmu Yang Kosong

Hari ini
aku berdiri dihadapan pemimpin itu
dengan cuaca kusut dan hati yang serabut
aku berdiri diam disitu
mencabar kewibawaan palsunya dalam bisu

Dia mula bercakap
tentang idealis-idealis kusam yang lama
tersimpan berdebu dia penjuru pejabat
hebat,lebat dan penuh dengan kata-kata kesat
dia menggembur idealis itu kembali sarat

Bukankah bait dan ritma hujahmu sudah lama
mati dikambus bebal mentalitimu yang pemalas?

Biarkan
aku belum punya kuasa
belum punya suara
hanya menurut kata
dan ya,ya,ya
aku pak turut yang hilang segala
sudah terbuang semua
demi monarki dunia

Dia Yang Enggan Bersinar lagi

Dia berlindung di balik gelap
bertafakur khusyuk dalam relau pemikiran
dia enggan bersinar
dia enggan berkilau
dia mahu dunianya kelam
dan dia tenggelam dalam diam


Dia enggan membiar sinarnya memancar sesiapa
bimbang silaunya merosakkan mata
dia tidak mahu melukai lagi
dia tidak mahu menanggung silap lagi

Biarkan dia dalam kelam
biarkan dia duduk diam-diam

-S.syahmi-

-Sg.besi-

Rabu, 27 April 2011

Aku Bukannya Sesiapa

Dia yang meminta cahaya
pada sudut gelap dimana aku berada
aku hanya mampu ketawa
menafi diri dengan keluh hampa

aku bukannya sesiapa
aku bukan watak putera dalam kisah lama
aku bukan hero yang menyelamat dunia
aku bukan seniman dengan suara
aku bukan jaguh atau juara
aku bukan jejaka dengan rupa
aku bukan bintang remaja
aku bukan budiman dengan jiwa mulia
aku bukan pemilik sopan santun dan budi bahasa
aku bukan penyajak yang luar biasa
aku hanya aku
yang masih belum kenal
erti 'Aku'

-S.Syahmi-
-Sg.Besi-

Isnin, 25 April 2011

Mimpi yang menggiurkan dan dunia yang melelahkan

Aku diugut oleh lena
nafasku lembut menyelit
dicelah manja keluh hujan
dan resah warna pelangi
jiwaku beku sebentar
antara lupus lelah dunia
dan giur mimpi berjela

Tolong biarkan detik ini abadi
walau untuk sedetik lebih lagi

-S.Syahmi-
-Masib berani dibuai mimpi,
ketika esok ada paper diwaktu pagi-
-Sg.Besi-

Ahad, 24 April 2011

Aku dan Malam, Siapa Mentafsir Siapa?

Dia mentafsir malam
dengan sebatang rokok Dunhill
bersama secangkir kopi pekat
dia menduga malam dengan dalam
dia mentelaah malam dengan diam

Asap dipanah dari mulutnya
kepul-kepul bertalu-talu
ditolak mengisi ruang malam
mengabur garis
antara asap rokok, awan malam
dan wap secangkir kopi hangat

Dia membiarkan dirinya dimamah malam
sedang tuk dunia mimpi dianyam

dia menikmati malam
lazat sekali

-S.Syahmi-
-sedang kabur realiti dan fantasi
esok test mengugat hati-
-Upnm,Sg.besi-

Encik Tapir

Encik Tapir sedih
rumahnya kini tinggal abu
dulu pohon renek menjadi sofa
pohon tinggi menjadi awning
rumput basah menjadi Dunlopillo

Encik Tapir tahu angkara siapa
merampas keluarganya
merampas asalnya
merampas masa depannya

Encik Tapir tahu
siapa yang lebih Tapir
dari dirinya yang bernama Tapir


-S.syahmi-
-diganggu kebosanan, tercetus kebodohan-
-hahaha~
-Sg.besi-

Aku masih lagi lelaki sejati

Aku menjadi gila
terperangkap dalam igau dan kenang semalam

Aku sememangnya lara
terdiam bersama sejuta bayang semalam
termanggu dipaku belau kerinduan

Aku dikacau silau
cahaya cintamu masih gemilang bersinar
risau ia akan membakar diriku rangup
seperti dulu luluh hatiku

Kau menjanjikan seribu kebahagian
yang datang bersama sejuta kerisauan

Aku rela terus kecewa
dari sementara mengecap bahagia
lalu sekali lagi kecewa

Aku mencabar definisi lelaki sejati


-S.syahmi-
-Menggarap mimpi dari angau semalam-
-Upnm, Kem Sg.besi-

Laguku kaku dan kelu tanpa kamu

Aku diam mengemam lagu
laguku tidak lagi berlagu
aku mahu kamu
dalam erti kata hanya kau dan aku
tiada dia yang menjadi seteru

Aku mencari kasih pada yang tak mahu
Aku menabrak kasih pada yang tak menahu

lagu ku kaku dan kelu
laguku beku tanpa kamu tuk ku tuju
aku bukan aku
tanpa kamu


-S.syahmi-
-Dari bening pagi,
hingga mencium hujan petang-
-Upnm, Sg.besi-

Kenangan menjadi Bukti

Pipiku merah
malu dalam mengenangmu
saat-saat kasih dan rindu yang dicipta dahulu
antara bukti kasih dan cinta pernah berpadu
kini sebati menjadi satu
warna-warna dunia pecah
dari kelabu menjadi beribu-ribu
apabila kujumpa kamu
dalam tangis dan tawa lalu
kau buktikan cintamu padaku

Aku terima kau seadanya
terima kasih


-S.syahmi-
-Sg.besi-

Sabtu, 5 Februari 2011

Aku ,luka dan bodoh



Dia mengukir cangkir dari rindu

meneguk arak syahdu dari mimpi-mimpi lalu

Dia menebus kasar kebodohan semalam
meninggalkan kesan dan gamam

Akukah yang menuang arak syahdu
pada luka-luka yang enggan sembuh?

Akukah yang berlaku kasar
pada hati yang kini menangis sendu?

Akukah?

Jumaat, 4 Februari 2011

Kutafsir senyuman baru


Kutafsir senyuman baru itu




Aku kehilangan senyum semalam
dalam kalut hibur gelap dan tangis senja
sepadu dalam sfera pengakhiran
sinis; ia menafi mati
cinta; bangkit kembali dari api

Aku mentafsir senyuman baru
dari bibir halus kering
dan luah kata ego dan macho
tegar bertutur tegas namun malas
jiwanya matang,semangatnya muda
masih hangat dalam memburu cinta

Senyuman baru ini cukup unik
berkerdip manja dan gebu
menimbul malu bila bertemu
mengukir rindu bila tak bertemu
Ah! Angau apa yang tergarap cekal di hati ini
giat berlagu melodi tanpa henti
sekali lagi aku jatuh dan lemah
mengagungkan cinta yang parah!


Dalam asbut realiti
kelam dan misteri
aku berani lagi

"Kusambut senyuman itu
dalam perdu waktu yang kaku
kusimpan senyum itu
dalam hati yang berlagu
"

-S.Syahmi-
-Cheras,KL-

Ayahnya memberikan fahaman

Anak kecil terduduk
disisi mayat ayahnya
dia menyimpan gamam
dalam kasih ayah masih terasa suam
dia melihat dengan diam

Ayahnya pernah berpesan

"Jika ayah mati dalam peperangan,
baguslah,
kerna ayah letih hidup dalam perjuangan"

Maksudnya jelas kini
dan anak kecil itu
menggapai senjata
meneruskan fahaman ayahnya

Khamis, 3 Februari 2011

Tanpa selipar


Biarlah sahut-sahut ayam mengetuk pagi
menjatuhkan embun malas di ujung daun keladi
dan membawa kita secara perlahan
menyungkurkan diri
mencium bau tanah di celah jari kaki sendiri
menyebamkan muka dalam gaya paling abnormal
menghayati detik mistik;abstrak sekali

Tanah yang terselit dicelah jari kaki menjerit
memberitahu semua mata terpaku
aku tak punya selipar unutk dipakai
lambang jahil manusia miskin dipinggiran
tetapi aku bukan miskin
punya akaun Maybank,CIMB dan macam-macam lagi
lebih berisi dari mereka yang memerli

Jadi?Kenapa?Mengapa?
dalam konteks perbandingan kewarasan minda
orang yang tak berselipar dengan kedegilan tersembunyi
diskrit yang meleleh dari lubang hidung keegoan
mereka yang enggan melepas pandang pada aku
yang berjalan tanpa selipar?

Aku mungkin
boleh mengaku aku ini pencinta alam
ingin mesra dengan lebih mendalam
boleh juga jadi sami Buddha menjual gelang
itupun ada juga yang memakai selipar
boleh jadi baru balik dari sembahyang jumaat
kasut mahal dibawa pulangnya kasut tiada
boleh jadi baru lepas dihalau bini kedua
tak sempat capai selipar setelah dia tahu tentang bini ketiga

Boleh jadi macam-macam
macam-macam boleh jadi
kalau seorang lelaki berjalan tanpa selipar

Rabu, 2 Februari 2011

Lagu yang terhenti

Aku mencari lagu yang terhenti
tersekat antara jeda lemah
dan tempo yang mengah
dipendam lelah dan resah
menguak kasih
mengagih sendu
memujuk kembali pada yang enggan mahu

Aku cuba mencipta korus
dari tulang-tulang rindu
dan simpuh malu
kucupan kata-kata sarat
memohon kau kembali
agar malamku tidak lagi sendiri

Aku mengukir pengakhiran
dari ketul-ketul kesalahan masa lalu
kukikir dosa dan noda darinya
dan tampak
satu tugu kemaafan
Aku ingin kembali
maafkan aku


Kuberi iramanya
degup jantungmu
bunyi nafasmu
kirai tawamu
sendu tangismu
laung amarahmu
semuanya bergabung

lalu lagu ini kuberi judul
'KAMU'


-S.syahmi-
-cheras-

Kucing hitam dijalan berdarah

(maaf kalau saiznyer kecil,pandai2 kamu semua la :)

Sebuah buku bertajuk aku


Jika aku bertanya pada hari
mengapa pelangi lain warnanya?
mengapa awan kaku tidak ditiup bayu?
mengapa embun tidak lagi sedingin dahulu?

Sinis
senyum hari padaku
katanya dengan megah mencari salah
"Aku ialah semalam,sekarang dan akan datang
tiga wajah yang sama yang kau gelar masa
bezanya pada cara kau lihat aku
bezanya pada cara kau mengisi aku
bezanya pada cara kau menghayati aku"

Diam
termenung dalam damai pemikiran
kata-kata hari membuat aku terkapai-kapai mencari pendirian
dalam konteks perbuatan dan rancangan masa depan
dalam keputusan tanpa penyesalan
akan aku ukir harapan
dari ketulan-ketulan pengalaman

Kalau boleh
ingin aku kumpul semua pengalaman
kisah-kisah sedih dan saat-saat gemilang
lalu dijilid menjadi buku kehidupan
letaknya mungkin
di bucu kanan rak buku terakhir
dibahagian rujukan perpustakaan Tuhan
sebuah buku yang pasti disaluti debu
sebuah buku yang bertajuk 'AKU'
-S.syahmi-

Selasa, 1 Februari 2011

Selamat datang lagi cinta

Owh?
pintu diketuk bertalu-talu
cukup bising sekali di lanjut usia
Ah!Cinta!
Kau datang lagi!
Kali ini membawa apa?
bahagia?atau datangmu
sekadar mengecewakanku lagi?

Cinta O Cinta
entah berapa kali perlu kau kunjungi aku
agak kurang sopan kau datang mengejut
sekurang-kurangnya telefonlah dahulu
atau sekadar Sms memberitahu datangmu

Jemput masuk cinta
lama kau menunggu dihadapan pintu hatiku
tak pernah aku menafi datangmu
wujudmu sesuatu yang perlu
mencukupkan tabi'i seorang manusia

Jemput duduk cinta
atas sofa realiti;maaf ianya keras

Jemput minum cinta
kau mahu kopi kasih sayang atau teh rindu?

Jemput makan cinta
jemput-jemput ini perisanya naluri manusia

Apa khabarmu cinta?
lama tidak ku melihatmu
kau agak kurus sekarang
adakah salahku
yang kurang memberi kau makan?

Terus-terang sajalah cinta
apa hajatmu kali ini?
nak menetap disini?
atau sekadar menunjukkan parut
terpatah dua dahulu?

Cinta O Cinta
kau masih bisu
tak mahu bicara
dan kacamata hitam menutup mata
menutup kelabu buta matamu
(Benar,cinta tak kenal sesiapa!)

Menetaplah cinta
kekal selamanya
namun jika kau pergi
aku tetap menanti kau kembali
di pintu hati
ketuklah lagi....

-S.syahmi-

Sebutir peluru

'Sebutir peluru
laju
menuju aku'

***

Rakan-rakan
kita semua telah menerima
sebuku kenyataan keras ini
falsafah bisu pertama kita genggam
sejak senjata pertama digenggam
kita sering mempersoalkan
dimana letaknya kemenangan
dipacu jilat lidah-lidah pemimpin bersuara
elok menakhodai bahtera sarat semangat
yang pada benarnya tongkang senget berkarat
kelasinya kami
tidak gentar walau layarnya sekadar ilusi
tetap berani walau dikemudi kepulau mati
terus berjuang walau tak tahu apa menjadi...


***

'Sebutir peluru
laju
menembusi aku'


-S.Syahmi-

Mengembara bersama

Seluas sayap imaginasi yang mampu membawaku
ku bawa dikau bersama meluncur bayu
di awan lalu mengais langit biru
"Kemana hendak dituju?" bukanlah persoalan baru
tetapi titik mula untuk satu pengembaraan




Ku ingin
membawa kau menyentuh bucu-bucu piramid batu
mengagumi kebongkakkan Firaun di masa lalu
yang akhirnya tetap tunduk pada tuhan yang satu
kini matinya hanya mumia dalam makam batu




Ku ingin
membawa kau bersandar di menara condong Pisa
menghayati kesilapan yang menjadi pujaan
menyedarkan kau maksud sinisnya
dimana wujudnya orang yang memuja kesalahan




Ku ingin
membawa kau ke tingkat 3 Menara Eiffel
melihat cara hidup romantik orang Perancis
dan tegas kebebasan yang mereka pertahankan
seperti roti Perancis itu sendiri
keras keraknya kontradiksi isinya yang lembut sekali




Ku ingin
membawa kau ke pinggir obor Lady Liberty
menyentuh bara palsu sedingin salju
seperti hati pemimpin negara ini
sinarnya terang sekadar kunang-kunang
munculnya hanya diwaktu malam




Ku ingin
membawa kau ulang-alik di tembok besar China
merasakan kepayahan pembina-pembina
dan merasakan senyum puas hati hamba-hamba
yang membina tanpa menyangka kekalnya
membawa bangga ke tulang-tulang mereka
yang kini bersepah entah dimana




Ku ingin
membawa kau bersiar-siar di taman tergantung Babylon
menyedut resah Nebuchadnezzar menjaga isterinya
yang gering dalam merindui bau-bauan flora Parsi
namun akhirnya gugur di perbatasan sejarah
tenggelam dan karam sebagai kenangan masa silam


Cuba
bezakan semuanya dalam diam
dengan pemikiran arkitek monumen tersergam
indahnya perasaan dalam binaan




Cukuplah sayang
mari kita mendarat di realiti dinihari



-S.syahmi-
-Cheras-

Bintang di langit

Ribu-ribu bintang di langit
kutafsir satu titik kelip
menjadi senyuman yang sengit


Satu bulan bersinar
neon alam senang memancar
menjadi lampu jalan tanpa wayar


Bulan dan bintang di siling malam
terangi aku terangi malam
membuang suram membuang kelam


Ribu-ribu bintang di langit
dapat segugus boleh kukait
menjadi buruj wajahmu di kanvas sulit


Satu bulan bersinar
menemani aku di jalan hambar
kontradiksi ironi seorang pelayar


Bulan dan bintang di siling malam
angin memuput berlagu diam
sayang hatiku kemudi tenggelam


Siang datang malam pergi
tinggal rindu di hati
menunggu malam datang lagi
lain kali kusambut dengan secawan kopi


-S.Syahmi-

Laguku kepadamu

Izinkan aku menumpang sayap jentayu biru
lalu mengait bayu tuk dijadikan lagu rindu
agar dapat kuhanyutkan diangin lalu
mengirim segala apa yang aku rasa
agar jauhnya hanya dimata
bukan dihati
kerna laguku akan melekat
dihulu hatimu sendiri


Kunyanyikan lagu ini
lagu rindu berbau sendu
ditransfigurasi menjadi cinta
agar dapat kau adaptasikan
menjadi memoir syahdu
menjalar penuh rasa
menggigit memori bermakna
menghunus sayang di jiwa
lalu laguku akan melekat
dihulu hatimu sendiri


Jangan tidur lagi Sayang
tunggu laguku kering kasihnya
gutasi cinta melembapkan jiwamu
menjadi nyala terang pedoman jalan keseorangan
personafikasi ragaku dikala kesunyian


Laguku datang dari jauh ditengah laut
menumpang jentayu meluncur bayu
mengikis ragu kau kirim padaku
pastinya laguku akan melekat
dihulu hatimu Oh sayang!


(Kukuatkan hati diam mengigit lidah sendiri
tak jemu menangggung realiti keseorangan diri
lambang gagah seorang pelayar yang merindui isteri)


Jumlah Paparan Halaman