Pengikut

Memaparkan catatan dengan label sonata sayu. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label sonata sayu. Papar semua catatan

Rabu, 11 Mei 2016

Kau Bintang Jalang dan Mentari Gampang

Antara bintang siang dan mentari malam
kita selalu menduga apa kutuk katanya
antara sahabat, cinta dan musuh
sering tertanya fizikal hubungan itu
kelabu dalam definisi celaru

Sembilu lekat ngilu di hati
tercapai mentaliti untuk tafsir duniawi
terbantu hasrat ketika mengenal diri
lebih tepat, "sedar diri"!

Bukan merendah bukan meninggi
aku mungkin segala cuma bukan sesiapa
cuma nama tak bernama
atas dasar panggilan sahaja
kadang terfikir
Dimana maruah yang aku dakap selama ini?

Seterusnya ini membawa kepada kelayakkan
antara aku, kau dan aku
sememang tak tercapai kehendak kau
sebab itu aku samakan kau dengan bintang siang
sumber cahaya tenang yang hilang dipandang
sebab itu aku samakan kau dengan mentari malam
membakar orang yang rayu ketenangan

Kutafsir kau senang 
Kau bintang jalang!
Kau mentari gampang!

-S.Syahmi-

Jumaat, 30 Oktober 2015

Sebelum mati hati

Hasrat lalu, nafsu dahulu
Digubah menjadi lagu
Stanza penuh syahdu
Lirik layu berlinang sayu

Dondang sayang dendang merdu
Ingat sayang ingat rindu

'Jauh' sekadar perkataan
sedang hati masih dekat
Berikat tali cinta melekat
'Tiada' bukan sengaja lupa
Disimpan elok takut berhabuk
Erat dipeluk takut berlekuk

Kemam
Duduk diam-diam
Jangan tanya atau jawab salam
Simpan semua dalam-dalam
Tunggu lagu sampai ke sayang
Tunggu sayang cari abang
Cari abang dalam hati

Cepat
Sebelum abang mati

-s.syahmi-

Dalam kecewa putusnya

Dalam pada dia menulis
Bertinta darah dan airmata menitis
Terkabur pandang hatinya
Kelirukan garis
Antara bahagia dan derita
Tak satu dilangkahnya

Dalam pada kita membaca
Tertanya rasa di kotak jiwa
Apa tak reput atau nanah
Luka yang tak henti berdarah
Sering berganti balut madah
Kata mengiya redha dan pasrah

Ya Allah
Moga hatinya tak lagi patah
Moga cintanya kembali
Mengagung seni
Rindu dari hati ke hati

-s.syahmi-
sajaksyafiqsyahmi.blogspot.com

Isnin, 19 Oktober 2015

Sonata sayu 11: pulang setelah aku hilang

Jemputlah masuk sayang
Jauh bertandang nak datang
Bertolak pagi sampainya petang
Bertumpang angin berpeluh dingin
Khabarkan hajat
Ujarkan berita
Ceritakan cinta

Jela demi jela terluah kata
Demi rasa terpendam sengketa
Demi cinta dibuang segala
Tinggal jiwa tanpa tara
Dicantum semula jadi permata

Setakat rasa tak sampai raga
Tak hilang kempunan di dada
Sentuh-sentuh bara
Marak tak jadi kalau tak berapi
Mana hangatnya?

Gementar
Dalam trauma berkacuk kecewa
Sebentar
Biar ku buka semula buku rasa
Mungkin ada tertulis namamu
Mungkin terpadam
Di saat engkau menduakan cinta

-s.syahmi-

Rabu, 21 Disember 2011

Kalau hati boleh mencarut

"kita sering terluka, dan sebagai manusia biasa, kita tak pernah berputus asa dan selalu terjadi hati tak dipeduli, dan diberanikan untuk mencuba lagi, walau parut lama tak terubat lagi"
 
Sekadar hati yang terluka
kau kata picisan saja
kusebut tangis tak berairmata
seru cinta selalu salah berkata
kasihan
ku makin mengerti wujudnya perkataan derita

Ditampal dibalut
seringkali dengan kalut
hati semput dengan parut tak larut
dan tiap kali luka baru disahut
"Hati? Ini calar yang keberapa?"

Aku terbayang
kalau hati boleh mencarut



-s.syahmi-

Selasa, 1 November 2011

Sonata Sayu 11 :Kau Sayang

Aku menegur simpati darimu
dari denai berdarah parut hati tercalar
kau tersenyum abstrak
menghina kata-kata setia
yang ku panjatkan pada tiap kalimah cinta

Insan
yang kusayang dengarlah luahan
sedikit cerca dari hati tersinggung
kau sayang pendusta tegar
kau sayang pembunuh perasaan
kau sayang mencekik kehidupan
kau sayang pemusnah segala harapan
kau sayang...

Kau masih lagi insan yang ku sayang



-S.Syahmi-
-Dengan hati yang perit malar, kucatit kenangan gusar-

-Upnm,sg.besi-

Rabu, 22 Jun 2011

Sonata Sayu 10


Sederap tapak kaki hentaknya
sebentuk hati retak hendaknya
sayup langkah membunuh tiap suara
mayatnya hati
bangkainya cinta

Jika hati ini masih mampu memberi bicara
jika wajah ini masih tak malu meronta cinta
pasti tiap udara yang kau nafaskan
sarat rayuan dan keluhan
pada lafaz putus cinta darimu
Senang bukan?

Kenangan takkan putus mengimbau
opera palsu padat dengan sayang jitu
kau cipta melodi itu
kau mainkan watak itu
kau lagukan senandung itu
Tahniah!
selaku penonton
aku cukup terhibur sekali

Satu tepukan syabas buatmu sayang!


-Siri ini terakhir dalam sonata sayu-
-S.Syahmi-
-Sg.Besi-

Selasa, 21 Jun 2011

Sonata Sayu 9

Sekuntum hati jatuh layu
kering dan reput
seperti kata-kata dari mulutmu

Neon sering mengisar malam
menyembur garing udara ke sayap rindu
aku menyedutnya bersama asap rokok
benar
rinduku lebih berat dari segala curut
lebih membunuh dari racun kusedut

Kusut hati sering membuah tanya
dimana sedar tika mimpi memberi ucaptama
dan kasih
hilangmu bersama runtuhan dinding
tembok janji kita dibina bersama
hilang
dalam asbut sesal dan asap penyesalan
dalam celah batu sisa
hatiku hancur bersamanya


-s.syahmi-
-Upnm, kem sg.besi-

Khamis, 16 Jun 2011

Sonata Sayu 8

Jika
waktu melewati memberi tanda tanya
kemana tujuan hati yang bergelora
kasihan pada kata sekat didada
tersinggung hati
melihat kau pergi

Demi
cinta ini kuharap ia abadi
kekal dihati bersemi sekali lagi
kudisini kan setia menanti
walau engkau sentiasa disisi
sayang hatimu belum kumiliki

Yang kupinta ditiap doa
Untuk kita berjalan bersama tanpa tanya
Seiring hati cekal bersama
Hanya irama kisah cinta kita
Alunan suara dan lirikan mata kita
Lagu ini persembah kasih dan rindu
Ikut hati,naluri dan utuh kasih
Zarah cinta memberi segala cahaya
Akan aku berikan segala

Demi cinta yang belum terukir jawapnya
Akal menafi hati yang beria-ia
Nafas kita mula bersatu dalam irama

Sayang
Yang ku mahu bukanlah jawapan
Apa kuharap senyum itu kekal
Hati itu jangan kau paksa
Menunggumu satu tanda tanya
Inilah saat tercipta kisah cinta

Dalam hati
kau
digarap abadi

-S.Syahmi-

Rabu, 15 Jun 2011

Sonata Sayu 7

Aku menyusun kata-kata dari diksi peribadi
tanpa sedar hatiku tertumpah isinya
lalu mengotori kertas jernih pulpa kasih
berkilau ia,hitam dan syahdu

Hairan
dulu warnanya merah berseri
darah asli yang mengalir dari hati
lumpur rindu sering berkeladak didasar
semuanya berkisar,mengalir deras tanpa sasar

Kau yang memijak arusnya
dengan kaki kotor mu itu
sekadar membasuh kaki
penuh senak kau tinggalkan
jelas tampak daki penipuan
tika asmara dihina ertinya
tika itulah
kakimu pergi
dalam langkah meninggalkan aku
sendiri

Selasa, 14 Jun 2011

Sonata Sayu 6

Dulu
senyum itu sering menghias wajah
senyum itu sering menyambutku
senyum itu sering mencerca gelisahku
senyum itu sering membunuh resah

kini
senyum itu mencebik luahku
senyum itu memecah tenangku
senyum itu merobek kenangan lalu
senyum itu menyumbing senyumku

senyum itu tidak lagi bererti
menggubal definisi senyumku sendiri

Sonata Sayu 5

Gusar
malam mengacau-bilaukan keadaan dengan sunyinya
gusar
hati ini seakan mati kekata dan isi
resah
semua hilang dalam asbut keluh dan angan alpa
resah
kau aku itu ini semua ,cantum, sampah
buang

Hitam warna dunia
putih warna hati
dunia hilang cahaya
hati hilang cinta
yang dulu merah pekat mengisi
sebentuk hati yang retak kini

Darah cinta tetap mengalir
deras melalui celah luka
yang ditoreh oleh kata-kata
'Selamat Tinggal Sayang'

Sonata Sayu 4

gadis-gadis didunia mendabik dada
'hati kami tak ada seorang lelaki yang memahami'
tetapi jelas kulihat bersepah
disana sini guris hati dan garit perasaan
jelas mewarnai tiap celah hujah dan majalah
tiap pasrah sedih dan musnah jelas tersurat
tahniah wanita!
kamu semua memang pandai memberi luah

tetapi kami lelaki
punya ego megah dan unggul
airmata bukan hak kami untuk dititiskan
cerita sedih bukan untuk kami kisahkan
kami tak punya pangku untuk menumpang kepala
kami tak punya rakan tuk berkongsi cerita

kami hanya ada mereka
diri, perasaan dan hati
masing-masing saling berkongsi
bahagia,derita,suka-duka kehidupan
dan cinta
yang kau ,wanita, ambil
dan tak peduli
dengan alasan
aku ini
lelaki

Sonata Sayu 3

jika sempurna kau cari
maafkan kejahilan ku
aku bangga dengan ketidaksempurnaan ku
dalam dakap dunia aku mendabik dada
biar aku bodoh tetapi bernyawa
biar aku dunggu tetapi bermaruah
biar aku x cukup sifat tetapi tak merempat
aku manusia yang sempurna bukan segalanya

jika cinta kau cari
cinta yang aku beri
maafkan caraku yang kasar
ego seorang lelaki
tak membenarkan air mata ini metiki lagi

jika kau ingin melangkah pergi
dengan alasan aku ini tidak sempuran
aku cukup berpuas hati
aku manusia yang sempurna bukan segalanya

hanya mengenal kasih keluarga
dan sentiasa memohon restu yang maha Esa

Sonata Sayu 2

semalam kita berpimpin tangan
mengisi bait puisi dengan cinta suci
kini hati masing2 telah menepi
bingkis cinta yang berkarat dihati

gebu pipimu dulu kupuja
dalam tiap usap jari kasarku
kau tepis lemah dengan jari mulusmu
syahdu
dunia berlagu bila kasih berpadu

dunia bagai kaca berhias
indah berkilau dalam gemilang bahagia
dan kau yang berhati batu
melontarkan hatimu tepat ke kaca itu
lalu pecah berrderai
tika hatimu dibuang membolosi cermin itu

tinggal aku
mengutip serpih2 hati batu
menyusunnya semula dalam sengih berairmata

Sonata Sayu 1

langkah demi langkah
diheret sayu hati yang mati
rengus2 angin enggan berbicara
seakan mengerti
hati seorang gadis

ngilu hati dihiris sembilu
pedih dan sedih bergabung dalam satu rima
tarian yang lemah dan pasrah
rela hati mati dari digarit derita cinta
melihat cinta pergi bersama bukan dirinya

dia memilih mati jasadnya
dari hidup bersama hati yang mati

Jumlah Paparan Halaman