Pengikut

Rabu, 2 Februari 2011

Sebuah buku bertajuk aku


Jika aku bertanya pada hari
mengapa pelangi lain warnanya?
mengapa awan kaku tidak ditiup bayu?
mengapa embun tidak lagi sedingin dahulu?

Sinis
senyum hari padaku
katanya dengan megah mencari salah
"Aku ialah semalam,sekarang dan akan datang
tiga wajah yang sama yang kau gelar masa
bezanya pada cara kau lihat aku
bezanya pada cara kau mengisi aku
bezanya pada cara kau menghayati aku"

Diam
termenung dalam damai pemikiran
kata-kata hari membuat aku terkapai-kapai mencari pendirian
dalam konteks perbuatan dan rancangan masa depan
dalam keputusan tanpa penyesalan
akan aku ukir harapan
dari ketulan-ketulan pengalaman

Kalau boleh
ingin aku kumpul semua pengalaman
kisah-kisah sedih dan saat-saat gemilang
lalu dijilid menjadi buku kehidupan
letaknya mungkin
di bucu kanan rak buku terakhir
dibahagian rujukan perpustakaan Tuhan
sebuah buku yang pasti disaluti debu
sebuah buku yang bertajuk 'AKU'
-S.syahmi-

Tiada ulasan:

Catat Komen

Jumlah Paparan Halaman