Pengikut
Selasa, 1 Februari 2011
Bahtera sejadah
dilautan wuduk tunduk mencelur resah
diantara celah-celah jari yang berdoa tabah
mengharap bertemu dermaga kucari
dermaga suci; ya Lailatulqadar
"Laila Laila Lailatulqadr
malam seribu misteri
malam jutaan yang mencari
apa lazatnya?apa nikmatnya?
O Tuhan kan lebih mengerti"
Diperlabuhan ini
adalah kunjungan pelbagai pelayar
nakhoda dan juragan mula belajar mengenal diri
sultan-sultan kaya dengan akhlak dan nurani
hingga lanun-lanun mati dibunuh insaf turut sertai
mereka semua saling berebut
10 hari lelongan dibuka
10 hari bidaan tak henti-henti
walau tak tahu hari yang mana lelongan dibuka
membeli lailatulqadar? murah sekali
istiqamah
istiqamah
beristiqamahlah dalam membeli
"Laila Laila Lailatulqadar
malam seribu misteri
bukan semua boleh mengahayatii
malam jutaan yang mencari
bukan semua dapat merasai!
Apa lazatnya? Apa nikmatnya?
penuh rahmat! penuh berkat!
O Tuhan kan lebih mengerti
O Tuhan kan yang memberi!"
Aku masih hidup
Kulihat kau menangis di sisiku
ditepi katil besi kau senyap memancar emosi
perlukah aku mengusik seribu bicara mindamu
atau mendiam diri terkapai dalam situasi merana
(senduku berlagu tawa yang suram
lambang keegoan lelaki yang matang)
Sayang
kiranya aku jatuh ditimpa malang
sakitku bukan sesuatu yang perlu ditangisi
kerna semua manusia tetap akan pergi
berbeza pada masa dan bagaimana
Lalu lintas nyawa yang hilang
bukannya sayu tetapi perlu
kerana pada paksi itulah bumi berputar
tanda waktu yang tidak pernah menunggu
Cukuplah sayang
cukuplah airmata
cukuplah derita
Kerna aku masih hidup
meneruskan jalan di taman dunia
-s.syahmi-
-tanpa tajuk 1
Aku termenung ke dalam peti sejuk
sayurnya layu berlagu
membeku;seksanya syahdu
dan bergemalah selaung alam
berpegang tangan meraung dalam
bunyi jerit; megahnya dari mana?
parutnya bumi dicangkul petani
rintihnya sunyi berbunyi dinafi
tangisnya hujan;mengapa disuburkan lagi?
sampai masa nanti
bukan petani yang makan sendiri
Bumi,bumi,bumi
dimanakah bumi?
dibawah kaki kami
kudrat gergasi dibawah kaki kami
Siapa yang beri?
Mengapa petani kata kami tak kenang budi?
Entahlah,aku pun tak mengerti...
-s.syahmi-
Sudikah sayang menari lagi? (ii)
Biarkan hati ini terus berdansa
dengan irama merdu iatu kamu
mengulit deria, Syahdu!
lantas mengajar kembali
erti bercinta seperti dahulu
Hei pemain piano!
teruskan alunan muzik menemani dia
sudah sekian lama sayangku tidak menari
Tap tap tap
bunyi langkah mulusnya
dilantai parkir sejuk
indah sekali gubahan langkah dipersembah
menggali rindu terpendam sekian lama
Aku terharu
bila luka lama sembuh
dan cinta kembali tak ditangguh
tangan kuhulur tanpa lengah
soalan manis kubawa menjengah
"Sudikah sayang menari lagi?"
Dia hanya tersenyum
senyuman yang sama
ketika langkah tari pertama dibuka
ketika kami berdua mencari makna cinta
O betapa aku
merindui tiap gerak listriknya
bagai mencabar masa
setiap gaya tari beku dirakam waktu
dan kekal beku dalam bara cintaku
Demi degup-degup jantung
yang berlagu kencang dalam dada
tiap degup adalah tiap langkahmu
tiada sumbang tari
hanya melodi indah hakiki
dan kau sayang
Teruskan menari!
-S.Syahmi-
Aduhai bujang..
Seorang lelaki bujang
selesa di atas katil
membiarkan saja masa berlalu
Dia berangan
kalau
dunia politik diceburinya
bagaimana dia mengasingkan demokrasi dan diskriminasi
mengembalikan erti kepimpinan sejati
Dia berangan
kalau
dia memimpin skuad sukan kebangsaan
bagaimana dia berusaha ke titik peluh terakhir
menjulang piala mendabik pingat didada
Dia berangan
kalau
dunia niaga diceburinya
bagaimana dia mengaut laba didunia
megahnya harta berjuta-juta
Dia berangan
kalau
dia memakai loreng mengangkat senjata
bagaimana musuh-musuh semua akan dibunuh
dan pingat-pingat khidmat bersusun didada
Dia berangan
kalau
mulutnya manis berbicara
gadis-gadis cantik mengelilinginya
memujanya seperti hero dalam filem
Dan dia terus berangan
Aduhai bujang
tetapi kau
di atas katil selesa termenung
tanpa sedar perut berkeroncong
nak makan dompetnya kosong
digapai selimut biru
ditutup tubuhnya hingga ke dagu
dan tidur
menyambung angannya dalam mimpi
Aduhai bujang!
Bila nak bangun???
-S.syahmi-

Kotaku dilanggar ramadhan
Falsafah sebiji telur goreng
Sebiji telur goreng
masih panas dan hangit sedikit
kubawa dalam pinggan kaca jernih
dan nasib datang mengusik tanpa arah
sebiji telur goreng terjatuh ke tanah
Aku tergamam
seperti kanak-kanak yang baru baligh semalam
bosku telah melihat semua dalam keluh
sebiji telur goreng yang jatuh ke tanah
"Hei!! Apa kau sedang buat?
pelanggan menunggu dengan pelbagai karenah
dan kau disini termenung kehilangan arah
Apa kau fikirkan?
cepat,angkat balik
sebiji telur goreng yang jatuh ke tanah"
Aku diam menurut perintah
melarang rasionalku mengambil alih
tangan bergerak untuk mengutip semula
sebiji telur goreng yang jatuh ke tanah
Aku memberikan telur goreng itu kepada pelanggan
dengan hati yang berat
dengan rasa yang salah
sebiji telur goreng yang jatuh ke tanah
Adakah terlalu mahal harga sebuah kejujuran?
-S.Syahmi-
Abstrak orang gila
Kutolak
Kutolak
Mentalitiku
penuh daya penuh usaha
sia-sia?
mungkin berhasil?
tidak
lantas?
apa yang harus dibuat?
mencarik diri
dari norma permikiran semulajadi
Bukannya tak boleh!
tetapi mereka disekeliling menuduhku pembelot Kenapa?
Kutarik
Kutarik
menjenguk jauh ke dalam nyata
menjenguk kedalam mangkuk-mangkuk pengemis
menjenguk kedalam picagari kosong penagih
menjenguk kedalam akaun bank menteri-menteri
menjenguk kedalam bilik sepasang kekasih
menjenguk kedalam ruang syiling mesin judi
! !
! Kotak pemikiranku !
! !
Kutolak-----------Kutarik
mengharapkan
supaya ia terbalik
Kubuang tali terbuang bakti
kubuang gari terbuang diri
Aku lari!
sambil memakai baju putih
didepannya tertulis
"KEBEBASAN"
dibelakangnya tertulis
"BENARKAH?"
Pakcik rumah sebelah dan meja kopi
Penyair mabuk dan sajak-sajak buruk
dihiasi teruk oleh penyair-penyair yang 'mabuk'
merdu lagunya adalah sajak-sajak yang 'buruk'
payah berjalan dengan nama kemanusiaan
yang telah ditakuk-takukkan dengan nama kemodenan
terpinggir terbuang tak terlayan
jatuh tenggelam timbul nafas kesemputan
sayu lagu puisi layu berlagu
detik sajak yang pelik dipekik
mabuk dengan arak kekecewaan
kerana sajak-sajak 'buruk' kami yang ditolak
kamilah penerus warisan yang dikambus kehampaan
punya pemikiran untuk digema sepanjang zaman
bukan sekadar dicetak berulang kali
untuk disimpan mati di rak buku sendiri
untuk dirai sesama kita sendiri
teruskanlah sajak-sajak yang 'buruk'
teruskanlah lagu-lagu puisi yang 'teruk'
walau hanya sesama kita sendiri yang memahami
(lalu aku berkata pada diri sendiri
bukankah kedegilan kami sesuatu yang romantik?)
-s.syahmi-