Sebiji telur goreng
masih panas dan hangit sedikit
kubawa dalam pinggan kaca jernih
dan nasib datang mengusik tanpa arah
sebiji telur goreng terjatuh ke tanah
Aku tergamam
seperti kanak-kanak yang baru baligh semalam
bosku telah melihat semua dalam keluh
sebiji telur goreng yang jatuh ke tanah
"Hei!! Apa kau sedang buat?
pelanggan menunggu dengan pelbagai karenah
dan kau disini termenung kehilangan arah
Apa kau fikirkan?
cepat,angkat balik
sebiji telur goreng yang jatuh ke tanah"
Aku diam menurut perintah
melarang rasionalku mengambil alih
tangan bergerak untuk mengutip semula
sebiji telur goreng yang jatuh ke tanah
Aku memberikan telur goreng itu kepada pelanggan
dengan hati yang berat
dengan rasa yang salah
sebiji telur goreng yang jatuh ke tanah
Adakah terlalu mahal harga sebuah kejujuran?
-S.Syahmi-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan