Hari ini kulewati kota kemanusiaan
mengecam jalan yang penuh dengan kenderaan
mengecam rakyat yang sibuk dengan kebendaan
layaknya disamakan seperti semut berpusu-pusuan
mereka membanjiri
tiap-tiap celahan yang wujud di kota
Para pekedai
dengan pelbagai aksi dan cara tersendiri
mula menebar jala duniawi
mula menjual serba-serbi
langsir-langsir indah yang baru digantungkan
(Bukannya sejadah baru yang digantungkan)
kuih-kuih raya mula dijual-beli
(Alangkah bagusnya jika iman sebegitu senang didapati!)
baju-baju cantik merata-rata
(Akan kubeli kesemuanya jika ia datang bersama taqwa)
mercun-mercun dijual sorok-sorokan
(Lebih baik dari senjata api
yang meragut nyawa saudara semuslim)
Pesanku pada penduduk-penduduk kota yang alpa
Buangkan semua!
fail-fail dokumen ditangan,rambut-rambut palsu peguam,topi-topi beret-beret polis dan tentera, barang-barang tiruan dijalanan,getah-getah merah bomba, batu-bata ditangan kontraktor,briefcase-briefcase para jutawan, topi-topi golf di kepala, mangkuk-mangkuk kosong pengemis,besi-besi cangkuk penyangak,pisau-pisau lipat perompak,motor-motor kapcai mat rempit,jarum-jarum karat penagih, gossip-gosip hangat artis-artis
Buangkan semua!
Dan dengar rangkapku yang seterusnya
Kiranya hari ini bulan ramadhan;bulan kemuliaan
dengan meriah kau menyambutnya
maka meriahkanlah juga amal jariah
ukirlah pahala pada bongkah-bongkah lapar dan dahaga
karamkanlah kapal dosa seperti kau tidak mengenalnya
terbitkanlah fajar insaf di ufuk dosa silam
lahirkanlah taubat dari pelacur-pelacur keduniaan
dirikanlah iman dari sujud dan ruku' terawih
dan pergi!
Di bulan ramadhan ini
carikan kembali
apa ertinya menjadi hamba Illahi.
-s.syahmi-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan