Pengikut

Jumaat, 30 Oktober 2015

Semalam tertinggal suara

Seperti semalam
Aku tertinggal suara
Terselit antara celah malam
Aku lupa siapa sebenarnya juara
Yang lunak mengagungkan hina
Seperti esok
Akan hilang suara semalam
Sekali lagi dihentam malam
Dan kita semua tergamam
Mengaku bodoh dalam diam

Balasku pada juara;

"Kau ingat kau tuhan?"

Sebelum mati hati

Hasrat lalu, nafsu dahulu
Digubah menjadi lagu
Stanza penuh syahdu
Lirik layu berlinang sayu

Dondang sayang dendang merdu
Ingat sayang ingat rindu

'Jauh' sekadar perkataan
sedang hati masih dekat
Berikat tali cinta melekat
'Tiada' bukan sengaja lupa
Disimpan elok takut berhabuk
Erat dipeluk takut berlekuk

Kemam
Duduk diam-diam
Jangan tanya atau jawab salam
Simpan semua dalam-dalam
Tunggu lagu sampai ke sayang
Tunggu sayang cari abang
Cari abang dalam hati

Cepat
Sebelum abang mati

-s.syahmi-

Dalam kecewa putusnya

Dalam pada dia menulis
Bertinta darah dan airmata menitis
Terkabur pandang hatinya
Kelirukan garis
Antara bahagia dan derita
Tak satu dilangkahnya

Dalam pada kita membaca
Tertanya rasa di kotak jiwa
Apa tak reput atau nanah
Luka yang tak henti berdarah
Sering berganti balut madah
Kata mengiya redha dan pasrah

Ya Allah
Moga hatinya tak lagi patah
Moga cintanya kembali
Mengagung seni
Rindu dari hati ke hati

-s.syahmi-
sajaksyafiqsyahmi.blogspot.com

Isnin, 19 Oktober 2015

Sonata sayu 11: pulang setelah aku hilang

Jemputlah masuk sayang
Jauh bertandang nak datang
Bertolak pagi sampainya petang
Bertumpang angin berpeluh dingin
Khabarkan hajat
Ujarkan berita
Ceritakan cinta

Jela demi jela terluah kata
Demi rasa terpendam sengketa
Demi cinta dibuang segala
Tinggal jiwa tanpa tara
Dicantum semula jadi permata

Setakat rasa tak sampai raga
Tak hilang kempunan di dada
Sentuh-sentuh bara
Marak tak jadi kalau tak berapi
Mana hangatnya?

Gementar
Dalam trauma berkacuk kecewa
Sebentar
Biar ku buka semula buku rasa
Mungkin ada tertulis namamu
Mungkin terpadam
Di saat engkau menduakan cinta

-s.syahmi-

Sabtu, 17 Oktober 2015

Dodoi ayah tunggal ke anak tertinggal

Sayang jangan menangis
Abang akan selalu di sisi
Sayang jangan terguris hati
Seribu maaf abang sanggup tulis

"Buai laju-laju
Sampai pohon sena
Moga sampai rindu
Moga sayang ingat selalu"

Sayang selalu senyum sinis
Mungkin memerli
Mungkin mengejek
Mungkin sedar tak sedar
Kata sayang
Abang duli tak duli
Tentang korban seorang isteri
Dodoi ditepuk;

" Tepuk amai-amai
  Belalang kupu-kupu
  Sayang kasih satu sudu
  Abang balas satu belanga"

Sayang pergi sayang hilang
Sayang datang abang girang
Kalau hati bertaut noktah
Mana gunung hendak berlari
Mana laut hendak sembunyi
Kalau nasib tersurat begini
Apa hak abang nak menafi?

"Rasa sayang hei rasa sayang hei
Lihat nona jauh sana
Rasa sayang abang tidak hilang
Simpan sampai sayang pulang"

-s.syahmi-
sajaksyafiqsyahmi.blogspot.com

 

Jumaat, 16 Oktober 2015

Doa yang terawal

Selebat mana turun hujan
Pasti pelangi mewarna di hujung
Sehebat mana dosa insan
Pasti insaf muncul di pencil ruang

Manusia namanya manusia
Bukan dewa, bukan tuhan
Mesti dosa terbina tanpa sengaja
Mesti pahala dicari walau mencuba
Tak endah mengejar sempurna
Tak lelah walau tak mulia
Azalinya manusia
Tercipta demikian rupa

Dan di malam suci
Kita buka hati demi lembaran baru
Moga dilupa apa yang lama
Kini cuba mencipta sejahtera
Isi dada dengan iman
Isi hati dengan zikir tak henti
Isi minda dengan tenang dunia
Isi peribadi dengan budi pekerti

Apa jua doa, moga makbul
Apa jua azam, moga jaya
Apa jua duka, moga lupa
Apa jua bahagia, moga kekal
Sehingga hujungnya
Insyaallah

-s.syahmi-
sajaksyafiqsyahmi.blogspot.com

Genang si lelaki

Alirnya titik demi titik
Genang demi genang mengalir
Senang
Tenang
Cuma hati yang berkecamuk
Adunan rasa yang berkacuk
Selagi genang masih berdenai
Terhina jati selaku lelaki

Lalu bagai mimpi yang mana
Tertanggung nasib yang iri
Tertunggak perit dan duri
Sekadar merana
Lena bersama airmata

(Dan tuhan, tiap doa menitip kekata
Kupohon dorong dan sokong
Agar tegar ku berdiri
Agar tewas ku dinafi
Agar bangkit ku terus berlari
Agar nahu ku bergema
Bunyinya adalah lelaki!)

-s.syahmi-

Selasa, 13 Oktober 2015

Demi senyum seorang isteri

Terduduk renung beramah kenang
Teringat saya tentang sayang
Senyumnya senang buatku tenang
Piala rasa bila usai menang

Jangan diendah segala remeh
Jangan dilalai tertutup mata
Maka mahu kah hati bongkak ego
Sedang senyunmnya lama kucari
Bagaimana hati mampu menafi
Akan senyum seorang isteri

Di keluh lelah jenuh melayan
Antara geram dan keterpaksaan
Keadaannya seorang perempuan
Isinya jangan disiakan
Padukan ia jadi kebahagiaan
Dirumus ringkas
Demi senyum seorang isteri

Ahad, 11 Oktober 2015

Aku tewas di malam

Sekali lagi
Aku dihempas kilas malam
Tewas
Tak termampu kudrat menahan
Selagi kelam menjadi damai kita
Manusia takkan henti memuja ia
Cukup klise untuk dikait
Asap rokok dan wasap kopi
Konon malam beri makna lelaki
Maaf, bukan aku

Aku dan malam takkan satu
Dua entiti berdikari berbeza erti
Dan definisi yang mengisi?
"Malam; hitam, kelam, dan diam
Aku; pendiam, kelam-kabut dan
hitam"
Tak sama tetapi tanpa rupa

Bagiku malam sekadar malam
Syahdunya bukan di perbuatan
Tetapi hitam itu sendiri
Lebih sekadar berlawan siang
Ia transfigurasi hari
Ia transmigrasi hati
Ia transaksi memori
Ia transformasi naluri

Ketika malam dipuja
Aku tertanya
Berbaloikah puisi ini ditulis
semua kerana diterbit rasa?

-s.syahmi-
-menahan diri dari memuja malam-

Jumaat, 9 Oktober 2015

Ingat rakyat

Selantang suaranya bergema
Cukup gemar membisukan kita
Amuk kan terbatas
Suara tak terlepas
Sedang kita berhempas pulas
Meneguk payah dan rimas

Lelah, tidak penatkah meningkah?
Sedang langkah semakin gundah
Seteru apa cuba dibikin
Kata kesat apa cuba digilap
Tidak lemaskah menelan ludah?

Dia terus berdansa, kaki tak lemah
Tetap bangga dabik dada bernanah
Tak sedar semua dah parah
Tunggu masa untuk musnah

Pesan pendita:
"Jangan lupa bangsa
Jangan lupa negara
Jangan lupa agama
Jangan lupa
Yang kita dulu
Pernah digelar mudah lupa"

Pesan rakyat:
"Ingat, Ingat, Ingat, Ingat, Ingat
Setiap darah dan keringat
Ingat, Ingat, Ingat
Siapa ikhlas berkhidmat
Ingat, Ingat
Sementara hanya duit dan pangkat
Ingat
Hakikat
Kita semua adalah rakyat"

Rabu, 7 Oktober 2015

Antara tuhan dan kita

Kita selam akal, cari kemanusiaan
Tak sedar kita gusar tanpa sebab
Kita lelah mencari definisi
Tak sedar ia sudah lama sebati
Bersimpuh kaki dalam hati

Kita cuba lerai satu-satu helai
Menduga mana lembaran usang
Kita gersang yang benar
Tak sedar ia lama hilang
Kabur antara lapis kemodenan

Berapa banyak dosa perlu dibina
Sedang kepuk pahala merata-rata
Kita asyik bertanya pada semua
Tak sedar jawapan tersedia lama
Terbenam
Dalam kelongsong hitam

Permata itu jiwa, kerdip sempurna
Terpampang segala untuk mata
Cuma tunggu kita menuntut hak
Sebagai hambaNya
Untuk menyembah yang Esa

Kita akan gagal mencari ILLAHI
Jika gagal mencari diri
Sebab tuhan
Sentiasa ada bersama kita

"Sedar atau tak sedar?"
Itu tanda tanya kita

Selasa, 6 Oktober 2015

Malam kelabu

Sebelum ini
Malam menyala gemilang
Kalau tak bulan mesti bintang
Sekarang pandang dihalang
Baru nak tertanya
Di mana bintang?

Sebelum ini
Berjuta bintang terpampang
Baru sekarang terasa hilang
Sebelum ini terang, tak disayang
Tinggal bayang baru nak kenang?

Kelabu bukan setakat siang
Malam pun dia datang
Udara malang, pandangan jalang
Apa beza orang
Dulu dan sekarang?

Kalau orang, dari dulu kelabu
Dosa di sini, sana dan situ
Bukan tak kisah tak ambil tahu
Sengaja alasan katanya 'Jerebu'!

Bagus jugak jerebu
Sekali datang
Baru kita tahu
Yang mana terang
Yang mana kelabu!

Ahad, 4 Oktober 2015

Ujar Yang Benar

Ujar wiraku ujar
Ujarkan benar ,tak perlu sabar
Dia kan gusar, mana tak gentar
Biar, asal kau ujar yang benar

Garit noda dari tipu tak berjeda
Mana selar kau calit mukanya?
Sedang kesannya tak terpalit
Dan kau pula yang dihimpit?

Apa adil baginya, tutur sahaja
Terlontar hina bermakna dia terasa
Maka kau sinar dihalang pancar
Permainan dia keracunan dunia
Menolak desak takut hilang puncak
Selesai guna simpan dalam kotak!

Ujar wiraku ujar
Biar dia gentar, biar dia gusar
Biar dia rombak pejabat rosak
Biar
Asal kau ujar yang benar

-s.syahmi-
sajaksyafiqsyahmi.blogspot.com

Sabtu, 3 Oktober 2015

Pelukkan Itu

Suam dan hangat; kasih
Diam dan teringat; masih
Hati berpilin memuncak padu
Segala jiwa menjadi satu
Abadi dalam satu waktu

Diam
Jangan diluah walau secebis kata
Hayati tiap temu dan sentuh
Jamahkan syahdu
Hadamkan indah
Dan berdoa
Agar abadi ini
tak pernah sudah

Rindu
masih terbuku
Antara aku
Dengan Tuhan atau insan
Masih menunggu
Pelukan itu...

-S.syahmi-
-terpulang,nak dipeluk oleh siapa?-

Ku hantar kau ke kenangan

Kali nak post dua version,sajak dan lirik

-LAGU-
Tersimpan dendam
Rayuan silam
Kisah hati hancur tenggelam

Kiranya takdir
Yang engkau hadir
Sekadar luka yg menyindir

Tolonglah hati
Dengarkan diri
mengadu duli
Bila diri ditinggal mati

Chorus:
Kuhantar engkau ke kenangan
Disimpan kekal sekadar ingatan
Jangan kembali
Meluluh hati
Pergi kau pergi
Pergilah kau ke kenangan

Biar ku singkir
Semua fikir
Ku tinggal engkau di pesisir

Bridge:
Setelah semua cerca dan hina
Setelah semua derita dan luka
Setelah bahagia
konon selamanya
Setelah itu ini
Kini kau buatku begini

*Kuhantar engkau ke kenangan
Disimpan kekal sekadar ingatan
Jangan kembali
Meluluh hati
Pergi kau pergi
Pergilah kau ke kenangan

Pergilah kau ke kenangan
Pergilah kau ke kayangan
Tinggalkan aku keseorangan
Tinggalkan aku bersama tuhan

SAJAK-
Tersimpan dendam rayuan silam
Kisah hati hancur tenggelam
Kiranya takdir yang kau hadir
Cuma luka yg menyindir
Izin ku singkir semua fikir
Izin ku tinggal kau di pinggir

Setelah semua cerca dan hina
Setelah semua derita dan luka
Setelah bahagia
konon selamanya
Setelah itu ini
Kini kau buatku begini

Kuhantar engkau ke kenangan
Disimpan kekal sekadar ingatan
Jangan kembali
Meluluh hati
Pergi kau pergi
Pergilah kau ke kenangan
Pergilah kau ke kayangan
Tinggalkan aku keseorangan
Tinggalkan aku dengan tuhan
Aku dan tuhan
Tuhan
Tolong

-s.syahmi-

Khamis, 1 Oktober 2015

Semua padaku

Gegarkan padaku sayang
Tumbuk atau tendang, tak terasa
Sakit dan derita tiada apa
Bila ku rasa
;Makna bercinta

Terangkan padaku sayang
Pekik atau bisik, tujukan lagumu
Biar getar jiwa, menusuk di dada
Biar ku rasa
;Makna bercinta

Jerihkan seksamu sayang
Tegur atau bisu,tetap menyambut
Selagi kau di hati, kasih bertaut
Tegar biasa, hakikat
;Makna bercinta

Cumbukan mulutku sayang
Nafsu atau syahdu, setia didamba
Bila hati berpilin, dunia jadi lilin
Alah bisa, tarikat
;Makna bercinta

Nyanyikan laguku sayang
Dendang atau sumbang, asal riang
Asal suaramu yang berkumandang
Laungan semangat
;Makna bercinta

-s.syahmi-
-masih menunggu yang sudi-

Hi! Nak ngorat boleh?

Hai! Siapa nama?
Nak ngorat boleh?
Ada syarat ke?
Lelaki solih? Muka mat saleh?
Atau body sado tangkap leleh?

Apa? Tak pandang luaran?
kenapa ditanya berapa simpanan?
Risau saya tak ada masa depan?

Haha
Saya lelaki tanpa dunia
Cuma kata-kata yang setia ada
Tak manis, selalu senyum sinis
Tak sombong tak pandai bohong
Muka pun kosong, sekadar syukur
Cukup sifat sempurna akal

Boleh ke nak ngorat?
Nampak garang tak boleh sembang
Sembang sikit terus nak hilang
Jangan cik!
Saya baru nak bagi salam!

Untung jadi perempuan!
Dikejar lari ditinggal tak duli
Masih memilih walau tak sudi!
Aduhai, larilah cik
Dah tak larat nak kejar
Umur meningkat nafsu menyusut
Badan membulat perut membuyut!

Apakan daya
Bujang terlajak ,siapa yang nak!

Eh? Cik di sana?
Berminat ke?

-s.syahmi-
-Haha-

Jumlah Paparan Halaman